Jumlah ramai bukan penentu

in Edisi by


SITIAWAN – Kehadiran penyokong yang ramai setiap sesi ceramah atau program tidak boleh menjadi penentu kemenangan calon.


Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu dapat dilihat ketika PRK Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei 2014 yang lalu biarpun kehadiran penyokong ramai ketika ceramah pembangkang tetapi kemenangan berpihak kepada BN.


Menurutnya, ini kerana terdapatnya golongan pengundi senyap.


“Kehadiran ramai orang ketika ceramah bukan penentu kepada kemenangan. Kita lihat contoh ketika PRK Teluk Intan dulu.


“Saya rasa kali ini juga perkara sama akan berlaku untuk PRU 14 ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra di Pusat Daerah Mengundi di Dun Astaka, Taman Mas, Kampung Koh di sini semalam.


Katanya, bancian awal sokongan kepada BN menunjukkan tanda positif.


“Jika lihat dari segi semangat terus meningkat bukan sahaja dalam kalangan penggerak parti malahan pengundi juga semakin positif.


“Rakyat berikan maklum balas positif termasuk di kerusi panas,” katanya.


Katanya, rakyat boleh membuat penilaian  terhadap calon yang bertanding.


“Biar rakyat buat penilaian terhadap calon bertanding berdasarkan pemerhatian mereka,” katanya.


PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng (DAP) menyaksikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi. 


Pada pilihan raya umum kali ini, Siew Keong akan berdepan dengan  Nga Kor Ming dari DAP dan calon Pas Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]