'Kehilangan' Almeida ketika aksi bertemu Perak terjawab…

in Sukan by


TANDA tanya ke mana hilangnya Ketua Jurulatih Melaka United, Eduardo Almeida dalam pertemuan dengan Perak di Stadium Hang Jebat semalam terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) mengesahkan pengendali berbangsa Portugis itu direhatkan.


Bagaimanapun, menurut sumber dalaman Musa, status Almeida bersama Melaka United belum diputuskan sepenuhnya sebaliknya akan diteliti terlebih dahulu menerusi ‘post-mortem’ yang akan dijalankan dalam masa terdekat.


“Almeida telah direhatkan pada Isnin lalu dan tempatnya akan diisi oleh pembantu jurulatih, Selvamohan Gopal buat sementara waktu. Soal masa depannya, ia belum diputuskan lagi,” katanya.


Mengulas punca Almeida direhatkan, sumber itu berkata, keputusan itu dibuat selepas berjumpa dengan semua pemain selepas skuad ‘Gegau Melaka Gegau’ itu tewas dalam beberapa perlawanan.


“Bila kita kalah, kalah, kalah, kita telah buat post-mortem yang mana kita telah memanggil semua pemain. Jadi, ada beberapa pemain yang mendedahkan punca kekalahan disebabkan taktikal jurulatih (Almeida) yang tidak kena untuk pasukan.


“Ada pemain cakap, tiada seorang pemain pun yang menyerlah bersama pasukan musim ini, sedangkan pasukan mempunyai ‘good ingredient’. Jadi maknanya ‘chef’ (merujuk kepada Almeida) yang tidak betul.


“Jadi, sebab itulah Almeida direhatkan yang mana kita (pengurusan) nak beri cabaran kepada pemain. Mereka kata jurulatih tak betul ye? Kita nak tengok bagaimana aksi mereka tanpa kelibat coach ketika aksi bertemu Perak,” katanya yang dihubungi sebelum perlawanan itu berlangsung semalam.


Bagaimanapun malangnya, aksi tanpa Almeida itu tetap berakhir dengan kekalahan apabila Melaka United tewas 1-2 di tangan Perak sekali gus menjadi kekalahan kedua di laman sendiri dan terperosok ke tangga kesembilan liga buat masa ini.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]