Kempen: Zambry nasihat calon guna pendekatan berhemah

in Edisi by


SITIAWAN – Menteri Besar,  Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengingatkan calon BN yang bertanding di kerusi Parlimen Beruas, Dun Astaka dan Dun Pangkalan Baharu supaya tidak menggunakan pendekatan caci maki ketika berkempen.


Menurutnya, calon BN harus menggunakan pendekatan lemah lembut dan sopan santun serta ikhlas melakukan kerja.


“Kita BN tidak gunakan pendekatan caci maki atau mengata pihak lain berbeza dengan pembangkang yang suka melabelkan seseorang dengan panggilan tertentu.


“Apa yang kita buat tunjuk keikhlasan hati untuk melakukan kerja,” katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Mas Kampung Koh.


Hadir sama calon Parlimen Beruas Pang Chok King dan calon Dun Astaka Teng Keek Soong.


Zambry berkata, jika terdapat makian daripada pihak pembangkang kepada calon BN juga adalah lebih baik tidak perlu dibalas.


“Jika mereka marah-marah kepada kita juga lebih baik kita diam dan jangan balas.


“Macam saya sendiri yang tidak mengambil peduli apa yang mereka katakan kepada saya namun ini juga menyebabkan mereka marah kepada saya,” katanya.


Katanya, walaupun Dun Sitiawan sudah ditukar kepada Dun Astaka ia terus menyuntik semangat semua pihak untuk bekerja lebih keras.


“Memang ada yang tanya kenapa tukar kepada Astaka dan saya jawab mereka perlu tanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


“Saya juga telah tanya kepada SPR dan mereka mengatakan nama Astaka diambil dari nama satu PDM. Ia langsung tidak memadam nama Sitiawan pun,” katanya.


Berkenaan soal calon pula, Zambry berkata, calon Parlimen Beruas dan Dun Astaka sudah dikenali pengundi setempat.


“Saya rasa pengundi sudah kenal dengan calon ini dan jika kita kerja kuat insya-ALLAH kemenangan boleh menjadi milik kita,” katanya kepada Sinar Harian.


INFO PRU14


P.068 BERUAS

N.36 Pengkalan Baharu

N.37 Pantai Remis

N.38 Astaka

Jumlah pengundi P.068 Beruas: 76,294
* Sumber Suruhanjaya Pilihan Raya


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]