Ku Nan pernah telefon saya: Mahathir

in Politik by


PUTRAJAYA – “Inilah pengampu terbesar di antara kawan-kawan Najib (Datuk Seri Najib Razak), apa Najib kata dia sambut sama sekali,” kata Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merujuk kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.


Menurutnya, beliau kenal dahulu Tengku Adnan, tetapi sekarag sudah berubah.


“Sekarang dia (Tengku Adnan) sudah lain sedikit. Bila tidak dapat jadi menteri, dia call saya tanya kenapa tidak dapat jadi menteri. Saya katalah sabar, Najib akan beri sesuatu.


“Sekarang sudah jadi Setiausaha Agung Umno, macam-macam dia dapat,” kata calon Parlimen Langkawi itu.


Jelasnya, dalam politik memang ada cerca dan memburukkan musuh, biar mereka kata apa sahaja, tapi paling utama bukan apa yang kita kata, tetapi apa yang kita laksanakan.


“Saya ada dengar ceramah Mat Sabu (Mohamad Sabu), dia kata dulu selalu kritik saya sebab belanja duit banyak, tapi hasil duit itu kita nampak.


“Mat Sabu kata, Putrajaya ada atau tidak? Jambatan Pulau Pinang ada atau tidak? Tapi Mat Sabu kata, duit RM42billion yang dibelanjakan 1MDB apa yang tuan puan dapat? Tiada satu pun. Ada la juga, berlian dan beg tangan mewah,” katanya bekas perdana menteri itu yang turut mendakwa negara telah berhutang berbilion ringgit.


Tambah Mahathir, beliau mengaku kesilapannya memilih Najib sebagai perdana menteri.


“Masa pilih dulu cukup baik. Tapi bila dah jadi perdana menteri, saya pula hendak ditangkap,” katanya.


Dalam pada itu, Mahathir turut menjamin sekiranya Pakatan Harapan berjaya mengambil alih kerajaan, pembinaan perumahan yang lebih selesa dan mampu milik akan diperbanyakkan di Putrajaya bagi semua peringkat pekerja dan kakitangan


“Kita tidak membazir wang tapi kita ambil kira sebanyak mana kita mampu belanja. Kita tidak pinjam duit, kalau Najib, tiada duit pun masih tetap nak buat juga,” katanya.


Selain itu, Tun Mahathir turut mencabar kerajaan untuk mengambil tindakan terhadapnya mengikut Akta Antiberita Tidak Benar susulan dakwaannya mengenai pesawatnya yang disabotaj bagi menghalangnya hadir pada hari penamaan calon tempoh hari.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]