Pasangan suami isteri pilih konsep kendera saji

in Edisi by


KUALA ROMPIN – Siapa sangka dengan menonton rancangan berkaitan makanan di televisyen menjadi ilham hingga mampu memulakan perniagaan.


Pasangan suami isteri di Kuala Rompin ini terus mengambil keputusan memilih perniagaan kendera saji.


Melalui kaedah itu, mereka menjual tortila dan taco buatan sendiri yang menjadi kekuatan kepada perniagaan yang dibina.


Anak jati Kuala Rompin, Norkhamisah Ismail, 46 dan Mohamad Fatullah Mohamed, 46, memulakan perniagaan sejak pertengahan Disember tahun lalu.


Ia juga sekali gus menjadikan perniagaan mereka satu-satunya kendera saji yang ada di kawasan Kuala Rompin.


Sebagai peserta Empower ECER Rompin, Norkhamisah mengakui pemilihan perniagaan dengan konsep sedemikian lebih mudah berbanding menggunakan kanopi.


“Kami pilih konsep perniagaan ini sebab biasa tengok dalam rancangan televisyen. Sebelum ini kami berniaga pakai kanopi seperti peniaga lain juga.


Bagaimanapun katanya, berniaga di bawah kanopi banyak cabaran terutama sukar menjejaki pelanggan.


“Pakai kanopi agak mencabar. Kadang-kala ada angin dan pelbagai lagi, jadi nak cuba food truck (kendera saji). Ternyata ia lebih mudah terutama untuk bergerak,” katanya.


Kemudahan itu juga dimanfaatkan sebaik mungkin apabila mereka kini boleh berniaga di beberapa lokasi di sekitar Bandar Kuala Rompin.


Norkhamisah juga memberitahu, dia menyertai kursus Empower ECER Rompin tahun lalu dan ilmu berkenaan digunakan sepenuhnya bagi memajukan perniagaan bersama suami.


Menurutnya, mereka kini sudah dapat menambah pelanggan kerana ada menerima jemputan berniaga di majlis tertentu atau menyewa ruang dalam program di daerah itu.


Kini, selepas kira-kira dua bulan berniaga, Norkhamisah turut mengakui mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.


Sebagai peniaga yang perlu memenuhi kehendak pelanggan, beliau bersama suami juga kerap keluar bagi melihat perniagaan kendera saji di tempat lain untuk mencari idea baharu.


Selain itu, kekuatan perniagaan mereka juga dipengaruhi resipi tortila dan taco buatan sendiri.


Jika makanan itu popular di Mexico, penggemar makanan barat di daerah ini juga tidak ketinggalan mencuba keenakan resipi pasangan ini.


Norkhamisah dan Mohamad Fatullah ternya gembira dengan sambutan pelanggan dan berhasrat menambah menu itu.


“Perancangan akan datang setakat ini kami nak tambah menu baharu iaitu gunakan capati untuk taco,” katanya.


Selain itu, kata Norkhamisah, suaminya juga masih dalam proses membiasakan diri memandu kenderaan itu untuk memperkenalkan makanan itu kepada penduduk di sekitar Rompin.


“Suami masih dalam proses membiasakan diri memandu lori, Insya-ALLAH apabila dia sudah mahir kami akan bergerak lebih jauh,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]