Penduduk halau ejen SPR

in Nasional by


KUALA SELANGOR – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar mengingatkan ejen SPR di Selangor supaya lebih beretika dan tidak menyalahgunakan kuasa ketika menjalankan tugas sepanjang proses PRU14 berlangsung.


Beliau berkata, sebagai ejen SPR tidak bermakna mereka bebas melakukan apa sahaja termasuk turut berpolitik.


“Malam tadi ketika saya berucap dalam satu majlis anjuran Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebuah kawasan perumahan di Kajang, saya diminta berhenti berucap kerana didakwa tidak mengikut peraturan sebelum diarahkan menunjukkan permit ceramah kepada ejen tersebut.


“Tidak cukup dengan itu, ejen terbabit meminta permit hiburan susulan kami menayangkan skrin ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya selepas merasmikan Kolej Komuniti Kuala Selangor di sini, hari ini.


Hadir sama, calon BN Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.


Noh berkata, tindakan ejen tersebut dilihat sengaja menimbulkan provokasi kerana beliau hadir ke majlis tersebut atas kapasiti menteri KPKT.


“Saya hadir ke majlis itu kerana kementerian saya sebelum ini telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.2 juta untuk membaik pulih lif di kawasan perumahan tersebut.


“…dan kenapa pula saya perlu menunjukkan permit ceramah sedangkan ia tidak terpakai ketika kempen pilihan raya umum,” katanya.


Menurut Noh, sikap tidak profesional ejen SPR itu akhirnya memalukan diri apabila dihalau penduduk setempat kerana memasuki kawasan perumahan berpagar tanpa kebenaran.


“Ejen SPR ini yang juga kakitangan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) kalau mahu berpolitik dengan berpaksikan kerajaan negeri, baik berhenti menjadi ejen.


“Pikul lah amanah dengan betul, jangan cuba nak tunjuk kuasa,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]