Perbuatan khianat bendera paling tinggi

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Polis Selangor membuka 22 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh lima hari berkempen PRU14  sejak Sabtu lalu.


Pegawai Perhubungan Media PRU14 Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Nordin Manan berkata, paling tinggi kes dilaporkan adalah perbuatan khianat bendera iaitu sebanyak sembilan kes yang disiasat mengikut Seksyen 427/435 Kanun Keseksaan.


“Bagi Seksyen 24 Akta Pilihan Raya 1954 kerana ceramah tanpa permit, tujuh kes dicatatkan, kes fitnah atau memberi tohmahan yang disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan pula dengan dua kes. 


“Seksyen 143/447 Akta Penerbangan Awam kerana penggunaan dron tanpa kebenaran juga dengan dua kes dan selebihnya masing-masing dengan satu kes melibatkan Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini. 


Tambah beliau, sepanjang tempoh hari berkempen ini, sebanyak 1,074 ceramah politik telah berlangsung. 


Mengulas tentang satu video viral di media sosial yang menunjukkan sekumpulan warga Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang memakai topi berwarna biru yang didakwa daripada sebuah parti politik, Nordin berkata, itu adalah tidak benar.


“Semakan mendapati topi biru itu adalah topi dengan menggunakan logo daripada agensi yang menguruskan kemasukan warga Bangladesh dan kejadian itu difahamkan berlaku pada bulan lalu.


“Itu bukannya topi parti politik dan kita menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi maklumat yang tidak pasti kesahihannya,” katanya. 


Sementara itu, polis turut mengingatkan semua pihak agar tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memastikan tempoh kempen berjalan lancar.


“Patuhi semua arahan yang diberikan polis, sebarang ucapan oleh penceramah ada aktiviti berkempen usah menyentuh kecenderungan memfitnah atau menghasut, usah provokasi dan tidak mendatangkan sebarang kerosakan,” katanya. 


Jelasnya, sepanjang tempoh berkempen ini, terdapat Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PR-KPR) yang dianggotai pegawai kuatkuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil parti yang dilantik bagi membuat penguatkuasaan secara berterusan.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]