Pesara masuk perangkap sindiket parcel scam

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu teruja mendapatkan barang kiriman dari luar negara, seorang pesara sanggup membuat pembayaran sehingga mencecah lebih RM10,000 sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan sindiket parcel scam.


Dalam kejadian Selasa lalu, kira-kira jam 9 pagi, wanita berusia 61 tahun yang ketika itu sedang berehat di rumahnya di Kampung Manir, di sini, menerima satu pesanan mesej daripada aplikasi WhatsApp yang memperkenalkan diri daripada sebuah syarikat kargo.


Individu itu turut memaklumkan ada kiriman barang untuk mangsa daripada seorang kenalan lelaki dari London dan barang tersebut kini berada di Jabatan Kastam Sepang.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa bagaimanapun diminta membuat pembayaran caj penghantaran berjumlah RM1,450 sebelum diberikan nombor akaun sebuah bank.


“Tanpa berlengah, sejam kemudian mangsa terus membuat pembayaran seperti diarahkan dan memaklumkan kepada syarikat tersebut berkaitan maklumat pembayaran dibuat.


“Namun, syarikat itu masih tidak berpuas hati sebelum sekali lagi mengarahkan mangsa memasukkan lagi RM1,200 dengan alasan kiriman itu mengandungi sejumlah mata wang asing,” katanya ketika dihubungi.


Kata Idris, mangsa tanpa sebarang syak hanya mengikut arahan diberikan sebelum sekali lagi diminta membuat sejumlah pembayaran dengan alasan untuk kos penghantaran barang kerana terpaksa menggunakan ‘ninja van’.


“Mangsa hanya mengikut arahan dikeluarkan tanpa banyak soal meskipun dalam masa sama, dipaksa membuat pembayaran tambahan kerana caj duti setem.


“Keesokan harinya (Rabu lalu), mangsa sekali lagi dipaksa membuat pembayaran dengan alasan untuk kos proses penghantaran barang,” katanya.


Idris berkata, meskipun sudah mematuhi arahan diberikan, mangsa masih belum berjaya mendapatkan kiriman itu sebelum menyedari dirinya sudah ditipu.


“Mangsa yang yakin dirinya sudah ditipu mengambil kaputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.


“Kes berkenaan kini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]