Petugas BN semua tertib: Bashah

in Politik by


JITRA – Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yakin penyokong mahupun petugas parti tidak  mempunyai niat untuk membakar atau menurunkan bendera parti lawan berdasarkan pengalamannya dalam arena politik negara.


Menurutnya, petugas BN semuanya tertib, kerana mewakili imej kerajaan negeri.


“Kita wakil kerajaan, kita mesti mengikut peraturan dan undang-undang. Kalau ada pihak berbuat demikian, biarlah polis membuat siasatan,” katanya, ketika lawatan berjumpa pekerja di kilang DXN, di sini petang, semalam.


Ahmad Bashah berkata beliau sudah lima penggal menjadi Adun, penyokong dan petugas tidak pernah ada niat sedemikian.


“Ini adalah kali keenam saya mempertahankan kerusi Dun Suka Menanti, sebelum ini pernah menjadi ketua pemuda. Saya yakin dan percaya dengan petugas-tugas BN tidak ada perasaan seperti itu sehingga hendak membakar bendera parti lain.


“Cuma kita nak tumpang, kalau ada di tepi (bendera parti lawan). Untuk memperlihatkan suasana banyak bendera dipasang tanpa kira parti politik,” katanya.


Bagaimanapun, beliau juga tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak pembangkang sendiri untuk memburukkan nama BN.


“Kes bakar bendera ini, kadang kala mungkin  dilakukan sendiri untuk menunjukkan konon ada pihak lain berbuat demikian. Contohnya, bendera Pakatan, dia cuba nak tuduh pihak lawan…tapi kalau nak bakar, siapa-siapa pun boleh bakar.


“Ada kemungkinan juga perbuatan ini dirancang oleh pihak pembangkang sendiri untuk memburukkan kerajaan BN di sudut pandangan rakyat kononnya BN sebagai parti bersalah. Padahal, tidak tahu siapa individu yang berbuat demikian..


“Kalau individu tidak bertanggungjawab itu ditangkap, lagi senang untuk kenal pasti dia daripada pihak mana. Apa pun, saya yakin polis akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.


Baru-baru ini, seorang wakil calon Dun Kota Darul menyedari bendera PKR dipercayai dibakar di Pekan Simpang Kuala, di Alor Setar.


Susulan itu, beliau membuat laporan polis di IPD Kota Setar, 1 Mei lalu.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]