PMB Investment terima 4 anugerah, pengiktirafan global

in Bisnes by


PMB Investment Berhad (PMB Investment), anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad (Pelaburan MARA), menerima empat Anugerah Dana Islam Global (Global Islamic Fund Awards) dari The Thomson Reuters Lipper Global Islamic Fund wards.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Datuk Nazim Rahman berkata, The Thomson Reuters Lipper Global Islamic Fund Awards adalah penganugerahan piawaian kecemerlangan tertinggi di seluruh dunia.


“Ini membuktikan dana-dana yang diuruskan PMB Investment adalah berprestasi tinggi dan bertaraf global.


“The Thomson Reuters Lipper Fund Awards telah memberi pengiktirafan kepada syarikat pengurusan dana yang cemerlang selama lebih tiga dekad di lebih 20 negara seluruh dunia.


“Hanya pengurus dana yang menyediakan prestasi dana terbaik dalam jangka masa sederhana dan panjang serta konsisten layak menerima pengiktirafan ini,” katanya dalam sebuah kenyataan media.


Mengulas lanjut mengenai dana-dana yang menerima pengiktirafan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed berkata, salah satu dana yang menerima anugerah ialah PMB Shariah Growth Fund (PMB SGF), memenangi anugerah Dana Ekuiti Malaysia Terbaik bagi tempoh tiga tahun berakhir 31 Disember 2017 dengan prestasi pulangan yang direkodkan adalah sebanyak 50 peratus.


“PMB Investment turut memenangi anugerah Dana Ekuiti Pendapatan Malaysia Terbaik bagi tempoh tiga tahun dan lima tahun berakhir 31 Disember 2017 melalui PMB Shariah Dividend Fund (PMB SDF).


“Dana ini telah merekodkan pulangan sebanyak 36 peratus bagi tempoh tiga tahun dan 45 peratus bagi tempoh 5 tahun berakhir 31 Disember 2017.


“Selain itu, dana lain yang turut memenangi anugerah adalah PMB Shariah Aggresive Fund (PMB SAF) dalam kategori Dana Ekuiti Malaysia Terbaik bagi tempoh lima (5) tahun berakhir 31 Disember 2017 dengan merekodkan prestasi pulangan sebanyak 112 peratus,” katanya.


Tambahnya, pengiktirafan ini membuktikan PMB Investment mempunyai rekod prestasi dana yang cemerlang bagi tempoh jangka pendek dan panjang.  “Pada tahun 2016, PMB Investment melalui PMB SAF menerima dua anugerah Thomson Reuters Lipper Fund Awards 2016 Global Islamic daripada Pegawai Kanan Negeri Thomson Reuters, Raymond Lee,” katanya.


April lalu, PMB Investment melancarkan dana pelbagai mata wang yang pertamanya dikenali PMB Shariah ASEAN Stars Equity Fund (PMB SASEF).


PMB SASEF membuat pelaburan di lima negara ASEAN iaitu di pasaran Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina.


PMB Investment sebuah syarikat milik penuh Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, adalah sebuah Syarikat Pengurusan Pelaburan Islam (Islamic Fund Management Company, IFMC), menguruskan 15 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti dan sukuk.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]