Thangarani cabar Sivasubramaniam

in Edisi by


BUNTONG – Calon BN Dun Buntong, T Thangarani mencabar Calon PKR, A Sivasubramaniam untuk mengadakan dialog antara mereka selepas wakil rakyat DAP itu mengeluarkan kenyataan yang mempersendakan beliau selaku calon wanita.


Menurutnya, beliau berkecil hati dengan kenyataan Sivasubramaniam seolah-olah memperkecilkan kredibiliti golongan wanita sebagai pemimpin ketika berceramah di kawasan Falim, Isnin lalu.


“Dalam ceramahnya, beliau mempersendakan pencalonan saya sebagai calon wanita yang disifatkan tidak mencabar langsung kepadanya.


“Ia menunjukkan sifat male chauvinism tertinggi iaitu prejudis terhadap golongan kami sehinggakan tidak layak untuk menjadi pemimpin sedangkan BN sudah melangkah ke hadapan memartabatkan golongan wanita,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.


Thangarani berkata, sesi dialog itu boleh diadakan bila-bila sahaja mengikut kesesuaian masa Sivasubramaniam dalam tempoh terdekat.


“Cabaran ini dibuka kepada beliau bila-bila masa dan di mana jua demi pembangunan kawasan Buntong dan  wanita. Saya sentiasa bersedia.


“Saya tidak memperkecilkan beliau tetapi saya tahu tahap dan kemampuan saya. Saya mampu melaksanakan tugas sebaik mungkin untuk kawasan Buntong,” katanya.


Sementara itu, Thangarani turut memperkenalkan manifesto tempatan dengan tema ‘Bersama BN hebatkan Buntong’.


“Selain memperkasakan golongan wanita, isu penempatan menjadi keutamaan antaranya setinggan dan hak milik rumah ibadat.


“Buntong juga akan ditransformasikan dengan menaiktaraf pasar, melengkapkan fasiliti sukan serta infrastruktur selain hebatkan golongan belia,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]