"Ajis yang saya kenal"

in Uncategorized by


MANJUNG – Bila disebut nama Ajis mungkin ramai tak kenal melainkan rakan terdekat dan orang lama sahaja tetapi sebenarnya itulah nama panggilan mesra Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Pulau Pangkor.


Ajis yang dikenali dalam kalangan penduduk Pulau Pangkor adalah seorang yang mudah mesra dan mudah didekati sesiapa sahaja.


Perkara itu diakui oleh seorang penduduk, Norazamai Abu Bakar, 50, yang sudah mengenali dan mengikuti perkembangan calon BN kerusi Dun Pangkor dan Parlimen Lumut itu sejak dari waktu kecil lagi.


Menurutnya, walaupun mempunyai jarak umur yang berbeza namun sebagai anak jati Pangkor mereka cukup mengenali pemimpin tertinggi Perak itu.


“Kami di Pangkor ni hidup seperti satu keluarga dan sudah tentu saya ikut perkembangan beliau (Zambry). Dari kecil beliau seperti juga anak-anak nelayan lain yang hidup serba kekurangan dan laut adalah tempat kami mencari rezeki.


“Jika sebut sahaja bab-bab jadi nelayan atau turun ke laut, kita memang tidak boleh tipu sebab Datuk Seri Zambry cukup tahu selok belok di laut,” katanya.


Katanya, menteri besar berkenaan mempunyai keazaman yang tinggi dan mahu mengubah kehidupannya dengan lebih baik.


“Beliau dilihat begitu berazam untuk mengubah nasib diri dan keluarga melalui pendidikan dan beliau adalah antara anak-anak Pangkor yang berjaya keluar dari kepompong kesusahan malahan mencipta nama hingga peringkat paling tinggi,” katanya.


Norazamai berkata, Zambry atau Ajis merupakan ikon kepada penduduk Pangkor kerana kejayaan dalam pendidikan dan pentadbiran sangat membanggakan.


“Beliau adalah antara anak nelayan yang sudah melalui pelbagai kesukaran dalam hidup dan berjaya keluar dari kesusahan melalui pendidikan. Sebab itulah setiap kali beliau pulang ke Pangkor dan bercakap dalam setiap program pastinya aspek pendidikan amat dipentingkan,” katanya.


Seorang lagi kenalan Zambry, Mohamad Salim Ghazali, 57, berkata, dia mengenali pemimpin itu ketika sama-sama bergiat aktif dalam Pemuda Umno pada tahun 1998 lalu.


“Ketika itu beliau memegang jawatan Exco Pemuda Umno dan sebagai seorang yang intelek beliau memang mempunyai banyak idea yang bagus.


“Ketika itu saya bersamanya berada di bawah biro kesenian dan mula memperkenalkan program-program kesenian seperti sajak dan puisi yang akhirnya mencetuskan Festival Puisi dan Lagu Rakyat (Pulara).


“Kita sedia maklum Pulara boleh dikatakan sudah sampai ke peringkat antarabangsa dan itu adalah hasil cetusan idea Dr Zambry sendiri,” katanya.


Katanya, Dr Zambry memang dikenali sebagai seorang yang tidak mudah putus asa dan tidak cepat marah.


“Apa yang saya suka tentangnya ialah, beliau seorang yang tidak mudah putus asa dan jika sesuatu perkara yang dibuat harus dilaksanakan sehingga berjaya.


“Beliau juga tidak cepat marah dan masih boleh beri peluang jika kita tidak berjaya melakukan sesuatu tidak seperti sesetengah orang lain yang akan mengambil tindakan terus jika kita gagal,” katanya.


Mohamad Salim berkata, Dr Zambry yang dikenali dulu ketika tidak memegang jawatan pemimpin tertinggi dilihat masih sama dengan yang ada sekarang.


“Kami rakan-rakannya juga dilayan seperti dulu juga, tidak ada sebarang perubahan pun antara dulu dengan sekarang cuma tentulah sekarang masanya agak kurang berbanding dulu yang tidak ada jawatan tinggi,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]