Asah idea bisnes, strategi

in Bisnes by


PUSAT Inovasi dan  Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) melancarkan Program Latihan Prapecutan: Edisi Pengasas Wanita (Pre-Accelerator Bootcamp: Female Founders Edition) bagi membantu usahawan wanita mengesahkan idea perniagaan mereka, membangunkan prototaip kerja serta mewujudkan strategi fokus memasuki  pasaran.


Ketua Pegawai Eksekuktif, Ashran Ghazi, berkata program berkenaan adalah inisiatif MaGIC bagi membuka akses pasaran dan menyediakan lebih banyak sokongan kepada wanita, yang mana sering tidak diwakili dalam kalangan golongan usahawan.


“MaGIC berusaha untuk memperkasa wanita dalam lingkungan ekosistem keusahawanan dan menyediakan mereka dengan platform untuk membolehkan idea perniagaan mereka menjadi realiti.


“Kami mengalu-alukan usahawan wanita dari Malaysia dan Asia Tenggara untuk memohon menyertai Pengasas Wanita dan mengambil langkah seterusnya untuk perjalanan keusahawanan yang menarik,” katanya dalam satu kenyataan.


Program latihan selama dua minggu itu disusun khas untuk mereka yang baharu hendak bermula  dengan rakan pengasas wanita serta menyediakan mereka dengan peluang untuk memperoleh kemahiran praktikal dan keupayaan;  bimbingan daripada pemain utama industri dan pandangan berguna daripada usahawan wanita terkemuka di Malaysia.


Peserta yang disenarai pendek akan didedahkan dengan latihan melalui topik seperti pengesahan pasaran, asas dan model perniagaan, strategi memasuki pasaran dan pembangunan produk, serta meraih pengalaman padanan perniagaan dan membuat demonstrasi.


Tempoh permohonan bermula 2 Mei 2018 sehingga 21 Mei 2018. Permohonan boleh dibuat di http://mymagic.my.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]