Bawa manifesto terbaik

in Politik by


SHAH ALAM – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad menyatakan adalah menjadi satu kesalahan besar sekiranya parti politik sekadar membawa manifesto populis tanpa melihat kemampuan, realiti semasa dan kehendak rakyat.


Beliau berkata, dalam keghairahan parti-parti politik meraih undi rakyat, mereka lebih cenderung mengemukakan manifesto bersifat populis tanpa melihat keterbatasan sumber yang ada.


“Lihat sahaja contoh berlaku pada Pilihan Raya Amerika Syarikat. Semasa tempoh pilihan raya, Donald Trump berjanji membina tembok sepanjang sempadan negara itu dengan Mexico, namun apabila beliau sudah mendapat mandat, ternyata ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan,” katanya menerusi Bayan Linnas Siri ke 130 di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.


Katanya, antara ciri-ciri manifesto yang baik perlu mempunyai lima elemen penting, antaranya menjelaskan kerangka ideologi.


“Manifesto itu hendaklah mempunyai mesej teras. Ini penting kerana mesej teras ini menjadi rujukan apabila timbul isu baharu yang mungkin tidak dapat dimasukkan dalam manifesto.


“Begitu juga dengan rekod capaian sebelum ini atau kad laporan. Ini penting bagi membolehkan pengundi menilai kemampuan sesebuah parti melaksanakan apa yang dijanjikan,” katanya.


Menurutnya, manifesto juga perlu mengehadkan skop kepada perkara penting dan bermakna kepada rakyat.


“Selain itu, manifesto juga perlu mempunyai elemen penggunaan bahasa yang boleh difahami oleh rakyat. Elakkan bahasa bombastik atau jargon (bahasa atau istilah khusus) pengurusan,” katanya.


Beliau berkata, antara sifat orang beriman adalah menepati janji dan ia adalah sifat yang menyebabkan manusia akan percaya dengan kata-katanya jika dia menepatinya.


“Sifat ini telah diperjelaskan melalui al-Quran dan al-Sunnah. Ia sememangnya mempunyai hubungan dengan sifat orang beriman. Firman ALLAH SWT dalam surah al -Maidah ayat satu berbunyi, “Wahai orang-orang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian”.


Jelasnya, menerusi ayat al-Quran berkaitan perjanjian, sifat menepati janji tidak boleh dipisahkan daripada jati diri orang beriman.


“Adapun hadis Nabi Muhammad SAW, banyak sekali riwayat yang menyebutkan kewajiban menepati janji, antaranya daripada Anas R.A, beliau berkata: “Rasulullah SAW pernah memberikan khutbah kepada kami dan Baginda bersabda, tiada iman (kurang iman) bagi yang tiada sifat amanah. Tiada agama (kurang agama) bagi yang tidak menepati janji.


“Berdasarkan hadis yang disebutkan tentang sifat menepati janji yang tidak boleh dipisahkan daripada diri setiap mukmin. Seperti sedia maklum, hadis Nabi Muhammad menjadi panduan kepada umat,” katanya.


Mengulas hukum menepati janji, Zulkifli berkata, terdapat perbahasan mengenai perkara itu dan ia sebenarnya telah dijawab serta diringkaskan oleh Imam al-Nawawi.


Beliau berkata, ulama bersepakat sesiapa yang berjanji, maka dia mesti menunaikannya, namun adakah ia wajib atau harus.


“Imam Syafie, Imam Abu Hanifah dan jumhur ulama menyatakan ia adalah harus. Jika dia tidak menunaikan janji, maka dia telah meninggalkan kebaikan dan juga perbuatan meninggalkan dan tidak menunaikan janji adalah perbuatan makruh tanzih, akan tetapi tidaklah sampai berdosa.


“Manakala sebahagian ulama berpandangan ia adalah wajib. Kata Imam Abu Bakar Ibn al-Arabi, mereka yang berpendapat dengan pandangan ini adalah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Begitu juga, ulama bermazhab Maliki berpandangan menepati janji adalah perkara wajib jika berkait dengan sebab,” katanya,


Justeru beliau berpandangan menepati janji adalah perbuatan yang wajib ditunaikan semampu mungkin.


“Jangan sesekali meninggalkannya dan diabaikannya kerana jika diabaikan janji yang telah diucapkan, ia serba sedikit mencalarkan imej seseorang sebagai seorang beragama Islam. Apatah lagi kredibilitinya akan dipertikaikan dan menyebabkan orang tidak lagi percaya kepadanya,” katanya.


Zulkifli turut berharap alangkah baiknya jika janji diucapkan disertakan dengan ucapan insya-ALLAH.


“Manusia tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Ucapan ini adalah satu perintah daripada ALLAH SWT agar menyerahkan segala urusan kepada-Nya,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]