Bukti BN iktiraf guru

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Pemilihan lapan daripada 40 calon BN Terengganu terdiri daripada guru yang bertanding pada PRU14 jelas memperlihat parti itu mengiktiraf golongan pendidik.


Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kepimpinan tertinggi parti mempunyai alasan dan sebab yang munasabah apabila memilih golongan guru sebagai calon bagi parti itu.


“Soal kenapa ramai dalam kalangan guru yang dipilih sebagai calon BN Terengganu pada PRU14 ini kena tanya kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.


“Tetapi saya percaya pemilihan yang dibuat ini (memilih calon daripada guru) adalah disebabkan parti percaya dan yakin dengan kemampuan guru dalam menarik pengundi.


“Jadi, saya harap semua calon yang terdiri daripada guru ini perlu membuktikan kemampuan mereka dan menjadikan pengalaman sebagai warga pendidik yang dekat dengan masyarakat ini untuk memberi kemenangan kepada parti,”katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu kali ke-47 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, semalam.


Antara barisan guru dan bekas guru yang bertanding mewakili BN pada PRU14 kali ini adalah Ahmad Razif sendiri di Dun Seberang Takir, Bazlan Abd Rahman di Dun Batu Rakit, Che Mansor Salleh, Buluh Gading.


Senarai lain Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad Dun Bukit Tunggal, Datuk Rozi Mamat, Telemong, Dr Ghazali Taib, Ajil, A. Latiff Awang, Pengkalan Berangan dan calon kerusi parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.


Sementara itu, bekas guru di Sekolah Menengah Teknik Terengganu, Nawi Ismail dipilih sebagai Tokoh Guru Negeri Terengganu 2018.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]