Calon bebas dakwa BN Pokok Sena mula bimbang

in Politik by


POKOK SENA – Calon bebas Dun Bukit Lada, Datuk Mohd Ismail Othman percaya kehadiran beliau mampu beri kesan kepada undi tiga calon lain di kawasan tersebut pada PRU14.


Beliau melihat sudah ada tanda-tanda kebimbangan terutama BN Bahagian Pokok Sena melalui calonnya, Datuk Ariffin Man yang mendakwa kehadiran calon bebas tidak akan menjejaskan sokongan ahli Umno.


Menurutnya, beliau percaya sekurang-kurangnya 3,800 undi sudah berjaya diraih hasil pengaruhnya sebagai bekas Ahli Umno sejak tiga dekad lalu selain pernah memegang jawatan Bendahari Umno Bahagian selama 14 tahun.


“Saya terkejut dengan sambutan dan sokongan yang ditunjukkan semasa turun berkempen kerana ada ahli Umno mengakui tidak puas hati dengan kepimpinan sekarang.


“Sebagai bekas tokoh di sini, saya mengenali seluruh cawangan Umno. Saya tahu yang ahli-ahli di kawasan ini tidak puas hati dengan kepimpinan bahagian dan saya hadir sebagai pembela untuk mereka,” katanya kepada Sinar Harian.


Dakwanya, proses tidak telus pada pemilihan Umno Bahagian Pokok Sena pada 2014 menjadi titik perselisihan faham antara ahli dan kepimpinan baharu.


“Saya perlu mencari sekurang-kurangnya 7,000 undi lagi dan nampaknya sokongan pengundi muda memberangsangkan termasuk masyarakat Siam di Kampung Bukit,” katanya.


Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ariffin berkata kehadiran calon bebas, Mohd Ismail bukan ancaman buat BN untuk mempertahankan kerusi Dun Bukit Lada yang dimenangi parti tersebut pada PRU lalu.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]