Dulu undi bapa, sekarang undi anak

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Dulu saya undi bapanya, sekarang anaknya pula,” kata seorang warga emas yang juga pengundi tegar BN, Haron Kasanviroyo, 82, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Parit Lapis Terus, Sri Medan, di sini.


Haron yang tidak pernah terlepas mengundi sejak PRU pertama turut menyatakan dia akan mengundi pada 9 Mei ini bagi memastikan kemenangan kekal milik BN di Dun Sri Medan.


Menurut Haron, dia menyifatkan calon BN Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan saling tak tumpah dengan arwah ayahnya, Kamisan Asa’ari yang juga Adun kawasan itu pada 1970-1990-an.


Katanya, tiada alasan tidak sokong calon BN pada PRU14 kerana berkhidmat dengan baik dan penuh cemerlang pada penggal lalu.


“Perangai dia (Zulkurnain) sama macam bapaknya, mesra dengan orang dan yang paling penting hormati individu lebih tua.


“Saya harap sekiranya dia jadi wakil rakyat semula untuk kawasan ini, beliau mampu ‘mengulangi’ agenda dilakukan bapanya,” katanya.


Tambahnya, dia turut menasihatkan kepada pengundi kali pertama mengundi lihat latar belakang calon terlebih dahulu.


Dalam pada itu, Zulkurnain berkata, beliau berharap akan terus dipilih untuk menjadi wakil rakyat dan berjanji akan berkhidmat dengan sebaik mungkin bagi memastikan agenda pembangunan di kawasannya terjaga.


“Sekiranya saya sekali lagi dipilih di kawasan ini, saya akan laksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dalam masa yang sama akan menjadi seperti arwah ayah yang cukup disenangi oleh rakyat dan pengundinya,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]