Hang Tuah Jaya bandar satelit

in Nasional by


HANG TUAH JAYA – Parlimen Hang Tuah Jaya yang dahulunya dikenali sebagai Bukit KatilĀ  merupakan sebuah bandar satelit bagi Bandaraya Melaka yang juga merupakan pusat pentadbiran baharu negeri Melaka bermula pada Jun 2006.


Bandar ini juga digelar sebagai ‘Putrajaya’ Melaka dan pusat pentadbiran Hang Tuah Jaya terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat Bandaraya Melaka.


Berada di bawah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), ia meliputi kawasan seluas 144.61 kilometer persegi dan merupakan sebahagian daripada tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.


Ia merangkumi bandar-bandar seperti Ayer Keroh, Bukit Katil, Batu Berendam, Bukit Baru, Ayer Molek, Durian Tunggal dan Bemban serta beberapa pekan dalam lingkungan kawasan ini.


Namun secara geografinya, seluruh kawasan ini (kecuali Bemban dan Durian Tunggal) merupakan sebahagian daripada Bandaraya Melaka.


Dari segi kawasan pilihan raya pula, ia meliputi empat kawasan Dun iaitu Ayer Keroh, Bukit Katil, Ayer Molek dan Pengkalan Batu.


Sebahagian kawasan Hang Tuah Jaya seperti Durian Tunggal berada di bawah Parlimen Alor Gajah, manakala Bemban pula termasuk di bawah Parlimen Jasin.


Zon kediaman selesa


Kebanyakan kawasan di Hang Tuah Jaya dibangunkan sebagai zon kediaman selesa yang dilengkapi dengan infrastruktur sosial dan memenuhi segala prinsip pembangunan bandaraya mapan.

Masjid Al-Alami, MITC.


Rata-rata penduduk di Parlimen ini bekerja sebagai di sektor awam, sektor swasta atau menjalankan perniagaan sendiri.


Nikmat pembangunan dikecapi ini mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan pada masa sama meningkatkan taraf ekonomi penduduk.


Sebagai nadi pentadbiran kerajaan negeri, kawasan ini menempatkan pelbagai bangunan penting seperti Seri Negeri, Seri Bendahara yang menjadi kediaman Ketua Menteri Melaka, Wisma Persekutuan, Menara Persekutuan, Pejabat Pendidikan Negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Akademi Kastam Diraja Malaysia, Hospital Melaka, Hospital Pakar Pantai, Kem Askar Rejimen 514 di Bukit Beruang, Kompleks Mahkamah dan Pejabat MPHTJ.


Lebih menarik, Istana Melaka yang merupakan tempat kediaman Yang Dipertua Negeri berada di kawasan Dun Bukit Baru, menjadi kebanggaan penduduk setempat.


Mercu tanda baharu


Rumah Melaka dan Dewan Tun Ali adalah antara dua mercu tanda baharu di sini yang menjadi produk pelancongan terbaru.


Dewan Tun Ali yang besar dan dilengkapi pelbagai kemudahan juga boleh disewa penduduk untuk sebarang majlis keraian seperti majlis makan malam dan sebagainya.


Bagi Rumah Melaka pula ia dijadikan sebagai produk pelancongan apabila menempatkan galeri perabot.


Beberapa hotel penginapan terdapat di sini, antaranya Hotel Angkasa MITC, Hotel Seri Malaysia, Hotel Kings, Philea Resort dan Spa, Air Keroh Country Resort, Ayer Keroh D’Village Resort dan Puteri Resort Melaka.


Terdapat lebih 20 institusi pengajian tinggi (IPT) di Hang Tuah Jaya seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Multimedia (MMU), Akademi Penerbangan Malaysia (MFA), Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, Kolej Antarabangsa DMDI, Kolej Komuniti Cawangan Bukit Beruang, Kolej Antarabangsa Sains Dan Teknologi Melaka (MICOST), Kolej Perubatan Melaka-Manipal, Kolej Antarabangsa Putra, Institut Kesihatan Sains & Kejururawatan Pantai, Kolej Komuniti Kota Melaka dan Kolej Kejururawatan Hospital Melaka.


Zoo Melaka & Zoo Malam, Taman Rama-Rama & Reptilia, Taman Mini Malaysia, Taman Botanikal, Taman Seribu Bunga, Taman Rekreasi, Taman Buaya & Rekreasi Melaka adalah antara destinasi menarik yang pastinya menggamit jutaan pelancong setiap tahun.


Lima tahun di bawah pembangkang


Kekalahan di Parlimen Bukit Katil pada PRU13 lalu sememangnya satu tamparan hebat kepada BN dan merampas semula kawasan ini bukan sahaja dapat mengembalikan maruah parti itu, agenda pembangunan yang terbantut juga boleh diteruskan.


Pada PRU13 lalu, Shamsul Iskandar Mohd Akin dari PKR mengalahkan calon BN, Tan Sri Mohd Ali Rustam dengan majoriti 5,447 undi.


Menurut Mohd Ali, sokongan berterusan ditunjukkan oleh masyarakat Melayu, Cina dan India membuatkan dirinya bersemangat untuk terus bekerja di kawasan Hang Tuah Jaya.


“Insya-ALLAH, jika saya menang kelak, lebih banyak pembangunan akan dibawa ke kawasan ini kerana Hang Tuah Jaya adalah pusat pentadbiran kerajaan negeri dan kita boleh membangunkannya setaraf Putrajaya.


“Banyak pembangunan yang boleh dilakukan termasuk kemudahan hospital, sekolah, infrastruktur, perumahan kos rendah serta sederhana, pusat rekreasi, pembinaan gerai dan pasar awam, selain stesen kereta api laju,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]