Harga barang negara lain lebih tinggi

in Politik by


GERIK – Isu nasional seperti 1MDB dan GST yang dibangkitkan kumpulan tertentu daripada pembangkang tidak begitu memberi kesan kepada penduduk kampung.


Calon BN bagi Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman berkata, isu ekonomi dan perkara lain tidak begitu dipedulikan penduduk kampung namun mungkin mereka sedikit terkesan dengan kenaikan harga barang.


Begitupun, katanya, isu tersebut tidak begitu ketara memandangkan harga barangan di negara-negara Asean lain lebih tinggi berbanding Malaysia.


“Jadi, apabila isu nasional dibangkitkan, ia tidak begitu mampu mempengaruhi penduduk di luar bandar seperti Gerik untuk mengundi pembangkang.


“Cuma kami di sini (Gerik) lebih berkelebihan kerana mengekalkan semua calon lama maknanya majoriti pengundi mengenali kami secara langsung kerana kami ada ‘track reord’ kami sendiri,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa berkempen bersama jentera BN di seluruh Gerik, semalam.


Dalam pada itu, Hasbullah tidak memandang rendah keupayaan lawan yang bertanding di Gerik kerana mereka mempunyai kumpulan penyokong tersendiri.


“Jadi kalau nak kata mereka bakal hilang deposit, mungkin tidak kerana mereka juga ada kumpulan penyokong mereka juga. Kalau boleh, biarlah kita berperang secara sihat. Yang kalah terima keputusan.


“Akhirnya jangan kerana perbezaan politik menyebabkan kita bergaduh sesama sendiri. Saya lebih terbuka dalam persaingan sebegini supaya pembangunan dan manifesto untuk rakyat dapat dilaksanakan sebaiknya,” ujarnya.


Sementara itu, Hasbullah memuji sikap penyokong BN di Gerik kerana sentiasa mengamalkan politik matang malah tidak melenting atau memboikot calon apabila nama mereka tidak terpilih.


“Itulah kelainan yang ada di sini. Sebelum pilihan raya kita dengar ada ramai yang kata nak jadi calon tapi bila nama mereka tidak terpilih, tidak pula mereka merajuk atau memboikot parti.


“Semuanya terus membantu perjuangan parti. Saya juga pernah pesan kepada ahli Umno sebelum ini, walau siapa pun calon diletakkan kita mestilah bantu beri kemenangan kepada BN, itu lebih penting,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]