Janji RM25j untuk Sungai Petani

in Uncategorized by


SUNGAI PETANI – Sebanyak RM25 juta bakal dirasai penduduk Sungai Petani sekiranya kerusi Parlimen Sungai Petani dan tiga Dun termasuk Bakar Arang, Pantai Merdeka dan Sidam menjadi milik BN pada PRU14.


Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan akan memperuntukkan RM10 juta selain pembinaan dewan dan kompleks sukan sekiranya kerusi Parlimen Sungai Petani dimenangi Shahanim Mohamad Yusoff manakala RM5 juta peruntukan untuk setiap Dun yang dimenangi.


Menurutnya, kemenangan Parlimen Sungai Petani dan ketiga-tiga Dun akan memberi kekuatan bukan sahaja kepada kerajaan negeri sekali gus memperkukuhkan kerajaan BN apabila lebih banyak kerusi dimenangi dalam pilihan raya kali ini.


“Saya mahu kemenangan di sini akan memberi kekuatan bukan sahaja kepada kerajaan BN malah lebih banyak kerusi akan kita rampas demi kejayaan rakyat Kedah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Timbalan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Padang Taman Ria Jaya, Sungai Petani malam tadi.


“Saya tengok banyak yang kipas, jangan banyak kipas tapi tak undi…Kalau ada dewan, tak perlu kipas, kita pasang aicond, tapi tunggu menang dulu.


“Ini bukan janji pilihanraya, Shahanim menang, Dun menang, pasti kita laksanakan dewan dan kompleks sukan di Sungai Petani,” katanya yang disambut sorakan gemuruh kira-kira 3,000 penyokong.


Beliau dalam masa sama turut menasihati pemimpin akar umbi agar tidak menjadikan permasalahan yang timbul di kawasan masing-masing sebagai halangan untuk bekerja keras demi kemenangan BN dalam PRU14.


“Ada empat hari sahaja lagi. Ketepikan permasalahan antara kita, kita berada di barisan hadapan, insya-ALLAH ‘abang’ akan tolong, ‘pakcik’ akan tolong,” jelasnya.


Ahmad Zahid juga yakin dengan kemenangan BN di Parlimen Sungai Petani mampu melaksanakan lapan manifesto yang  disenaraikan calon P15 termasuklah Sifar Rumah Uzur, Menubuhkan Pusat Transformasi Industri Desa, Mewujudkan Tabung Bencana Khas dan Sekolah Berasrama Penuh.


“Di Sungai Petani ini kita tunggu penuh debaran 9 Mei nanti, namun pastikan pengundi pelbagai kaum Melayu, Cina, India dan Siam beri sokongan.


“Kita mahu Sungai Petani ditransformasikan dan pastikan kemenangan calon berpihak kepada kita,” katanya.


Selain Shahanim untuk kerusi P15, BN mempertaruhkan Datuk Ali Yahaya untuk kerusi Dun Pantai Merdeka N27 yang juga merupakan penyandang, Ko Hung Weng bagi kerusi Bakar Arang N28 dan Tan Kok Seong bagi kerusi Dun Sidam N29 pada PRU kali ini.


Pada PRU13, BN hanya menang di kerusi Dun Pantai Merdeka manakala tiga kerusi lain termasuk Parlimen dimenangi PKR.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]