Laungan takbir sambut calon Pas

in Edisi Utara by


GUAR CHEMPEDAK – Kehadiran calon Pas Dun Guar Chempedak di Pasar Tani Guar Chempedak mendapat laungan takbir daripada sebahagian peniaga pasar berkenaan, pagi semalam.


Musoddak Ahmad berkata, beliau sangat bersyukur dengan sokongan yang ditunjukkan dan ini mampu menguatkan lagi keyakinannya bahawa Pas mampu menawan Dun Guar Chempedak pada PRU14.


Katanya, kunjungan beliau ke pasar berkenaan bukanlah sesuatu perkara yang asing.


“Saya selalu datang ke pasar ni terutama setiap Jumaat sebab saya dan isteri beli keperluan barangan dapur di sini,” katanya ketika ditemui.


Menurutnya, kunjungan beliau ke pasar tani itu adalah untuk mengedarkan risalah yang mengandungi manifesto pimpinan Pas.


“Alhamdulillah, ramai yang menyambut baik kedatangan saya dan rakan-rakan pada hari ini.


“Kami mendekati seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa serta fahaman politik,” katanya.


Ditanya adakah beliau bersedia menghadapi calon dari Pakatan Harapan yang lebih muda dan calon BN lebih berpengalaman, Musoddak berkata, kesemua calon mempunyai kelebihan masing-masing.


“Saya tidak mahu membuat sebarang perbezaan kerana yakin kelebihan dan kekurangan seseorang calon itu tidak sama.


“Insya-ALLAH kita akan lakukan yang terbaik sepanjang tempoh berkempen dan sekiranya diberi mandat untuk memerintah kita juga akan laksanakan segala janji terhadap rakyat,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]