Negeri Sembilan tiada 'gempa' besar

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Suasana di negeri ini tampak cukup tenang kerana tidak berlaku ‘gempa bumi’ yang besar, walaupun tempoh berkempen sudah memasuki hari keenam.


Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebaliknya ‘gegaran’ kecil sahaja dirasai kali ini di lokasi tertentu tetapi tidak melebihi tiga skala Richter.


“Selalunya bila kita menamakan calon, akan ada ‘gegaran gempa bumi’. Macam itu juga di Negeri Sembilan pada beberapa pilihan raya yang lalu.


“Kalau dulu boleh cecah hampir 10 skala Richter, (sampai) pening kepala kita sebab banyak ‘bangunan’ runtuh. Tapi kali ini, ‘gegarannya’ amat kecil.


“Sebab kita dah buat kerja sejak empat tahun lalu.


“Sekarang kita cuma bentangkan hasil gerak kerja pada orang ramai,” katanya.


Mengulas lanjut, kata beliau, antara ‘gegaran’ kecil dimaksudkan seperti di Dun Jeram Padang apabila salah seorang ahli MIC bertindak keluar parti untuk bertanding sebagai calon bebas.


“Gegarannya tak seperti apa yang kita dengar, tapi sikit saja. Ada orang bercita-cita nak jadi calon dan tak puas hati.


“Tapi saya tak nampak sokongan begitu besar pada calon bebas ini. Sebaliknya sokongan pada Datuk (L) Manickam yang pertahankan kerusi itu masih kukuh,” katanya.


Menurut Mohamad, perkara itu terbukti melalui ujian dilaksanakan terhadap jentera BN di Dun berkenaan.


“Semalam saya buat acid test (batu uji). Saya telefon jam 2.30 petang, kata nak turun jam 4.30 petang di Palong 2.


“Saya nak tahu, sejauh mana gerak kerja mereka. Memang tak sangka sebab ingatkan orang Palong 2 saja datang, tapi seluruh jentera Jeram Padang turun dalam tempoh yang singkat.


“Saya yakin boleh capai kemenangan dalam mana-mana pilihan raya, kalau jentera kuat. (Sebenarnya) bukan pertandingan PRU saja, kalau nak jadi ketua kelas pun kena ada kawan-kawan tolong,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran bilik gerakan Parlimen Seremban di Jalan Tuanku Munawir di sini, hari ini.


Beberapa calon BN Negeri Sembilan turut hadir antaranya Senator Datuk Chong Sin Woon; Datuk Abu Ubaidah Redza; Ng Kian Nam; Siow Koi Voon; Syamsul Debat; Yap Siok Moi; Mazalan Maarop dan Dafney Ho.


Media melaporkan, bekas Ketua MIC Cawangan Taman Awana Indah, Datuk Seri Dr S Surash berbuat demikian beberapa hari sebelum penamaan calon pada Sabtu lalu.


Perkara tersebut disahkan oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]