Noh yakin BN rampas Selangor

in Edisi Selangor KL by


TANJONG KARANG – Barisan Nasional (BN) Selangor mengulangi keyakinan bahawa  parti itu akan merampas Selangor daripada pembangkang dengan memenangi 30  daripada 56 kerusi Dun pada PRU14, 9 Mei ini.


Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan respon positif daripada pengundi yang  diterima pihaknya sepanjang lima hari berkempen.


“Tumpuan parti kali ini bukan pada ceramah atau kempen besar sebaliknya berfokas  kepada kempen bersemuka dengan mencari di mana keberadaan  pengundi.


“Strategi ini kita lihat berjaya apabila Dun yang sebelum ini dikategorikan sebagai ‘hitam kelabu’ bertukar kepada ‘kelabu’ dan ‘kelabu putih’ kepada ‘putih’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Perumahan Rakyat (PPR) Ujung Permatang di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Mohammad Mentek.


Mengulas lanjut, Noh berkata pengundi Cina turut dilaporkan akan beralih kepada BN pada pilihan raya umum kali ini berikutan keyakinan mereka terhadap parti itu dan kerajaan BN dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang mengutamakan kebajikan rakyat.


“Tsunami Cina memang telah dua kali berlaku pada PRU sebelum ini.


“Namun, kali ini nampaknya pengundi Cina sudah boleh kembali kepada BN selepas mendapati BN merupakan parti yang sentiasa komited menjaga kebajikan semua kaum termasuk kaum Cina,” katanya.


Dalam pilihan raya  2008, BN buat pertama kalinya terlepas Selangor ke tangan pembangkang apabila hanya menang 20 daripada 56 kerusi Dun.


BN  gagal merampas  Selangor  dalam pilihan raya  2013 setelah kehilangan lapan lagi kerusi Dun. – Bernama


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]