Orang muda dibebani hutang ekonomi

in Politik by


PANDAN INDAH – Pakatan Harapan (Harapan) meminta golongan muda untuk membuat keputusan dan pilihan yang tepat menjelang PRU14 ini dengan menolak kepimpinan BN yang jelas membebani mereka dengan hutang ekonomi.


Calon PKR Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, faktor pengundi muda adalah faktor yang besar malah BN sendiri pada hari ini sudah melihat betapa golongan muda mampu memberikan kesan besar dalam keputusan pilihan raya.


“Isu dan faktor pengundi muda adalah isu kritikal di Malaysia, kalau kita lihat BN sendiri amat terkesan sehingga mereka keluarkan Jaminan Orang Muda dan jaminan ini juga diwakili oleh Khairy Jamaludin, bukannya diwakili oleh Datuk Seri Najib Razak.


“Ini menunjukkan di peringkat BN juga mereka tahu pemimpin mana yang mendapat tempat di hati rakyat dan pemimpin mana yang sering kali dipersoalkan.


“Maka di peringkat Harapan, yang kita mahukan buat orang muda bukannya mahu mereka dibebankan dengan hutang yang mencecah hampir 700 bilion, sebaliknya masa depan yang terjamin,” katanya ketika Sembang Santai Aspirasi dan Cabaran Anak Muda, semalam.


Nurul Izzah berkata, pengundi muda harus dijelaskan sama ada mahu memilih BN dengan bebanan hutang serta pemimpin yang tercalar teruk dengan skandal rasuah atau terus ke depan dengan meilih pimpinan yang mahu terus melaksanakan kebaikan berterusan sedaya upaya.


“Maka yang kita mahukan bagi orang muda ialah benar-benar mewujudkan masa depan yang terjamin, kita mahu pemimpin yang rasuah itu tak kira pangkat apa dihadapkan di mahkamah di bawah undang-undang yang sama.


“Saya merasakan kita mampu mendekati orang muda kerana kita mahu agenda orang muda khususnya masa depan mereka terjamin khususnya dengan peluang pekerjaan yang tidak akan meminggirkan mereka,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]