Pekerja Korean Air gesa pengerusi berundur

in Global by


SEOUL – KOREA SELATAN. Kira-kira 400 pekerja Korean Air dan penunjuk perasaan berhimpun di Gwanghwamun lewat hari ini mendesak penggulingan pemilik syarikat penerbangan terkemuka itu berikutan kegagalan pihak polis mendapatkan waran tangkap terhadap salah seorang waris keluarga tersebut.


Pihak polis daerah Gangseo dikatakan cuba mendapatkan waran tangkap terhadap anak perempuan kedua pengerusi Korean Air, Cho Hyun-min yang dituduh melakukan serangan ke atas seorang rakan perniagaan, namun permintaan mereka ditolak pihak pendakwaraya.


Terdahulu, Hyun-min meminta maaf secara terbuka susulan ‘tindakan tidak wajarnya’ namun menafikan melakukan sebarang kesalahan semasa soal siasat polis.


Hal tersebut mencetuskan kemarahan beratus pekerja Korean Air yang turut mendakwa keluarga Cho Yang-ho berlaku kejam dan tidak adil terhadap pekerja syarikat penerbangan terbabit.


Ini bukan kali pertama keluarga elit tersebut terpalit kontroversi, pada tahun 2014, anak perempuan sulung Yang-ho, Cho Hyun-ah menjadi perhatian antarabangsa gara-gara ‘amukan kacang’ ketika dalam penerbangan kelas pertama dari New York ke Seoul.


Malah isteri Yang-ho, Lee Myung-hee juga didakwa mendera pekerja secara mental dan fizikal.


Pihak polis turut menyiasat dakwaan keluarga tersebut menggunakan pesawat Korean Air bagi menyeludup barangan mewah ke Seoul sekaligus mengelak daripada membayar duti import dan cukai kastam.


Permohonan maaf Yang-ho di atas ‘kelakuan tidak matang’ kedua anak perempuannya yang telah pun meletak jawatan eksekutif dianggap tidak mencukupi bagi menyelesaikan skandal terbabit.


“Mereka sekeluarga hidup mewah tetapi kami pekerja Korean Air hidup tertekan,” ujar seorang penunjuk perasaan yang menyertai protes.


Source: SH Global

[featured-video-plus]