Penantian 34 tahun berbaloi

in Edisi Terengganu by


HULU TERENGGANU – Bagaikan menerima segulung ijazah. Begitulah yang dirasai para peneroka di Felda Tersat setelah penantian mereka selama 34 tahun untuk memiliki geran tanah berakhir dan menjadi kenyataan.


Malah, kegembiraan berganda dirasai 172 peneroka terlibat apabila geran hak milik tersebut disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dewan Komuniti Kuala Berang, di sini, hari ini.


Perdana Menteri hadir ke Kuala Berang sempena Program Mesra Rakyat dan pada majlis itu juga beliau turut sampaikan hak milik tanah Rancangan Tanah Berkelompok Banggol Pak Chek serta pelancaran  rumah mampu milik Tambahan Hulu Terengganu.


Ketua Peneroka Felda Tersat, Mansor Mamat, 62, berkata kegembiraan dirasakannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan geran hak milik itu lambang keprihatinan serta pengiktirafan kerajaan kepada peneroka.


“Kami mula masuk ke kawasan Felda Tersat sekitar tahun 1980, selepas tanaman sawit berusia empat tahun baharulah dipanggil peneroka. Tentunya pelbagai cabaran dan kesusahan dilalui dulu.


“Namun dengan kecaknaan pihak kerajaan, hari ini kami para peneroka Felda telah dapat nikmati pelbagai kemudahan termasuk dari aspek perhubungan jalan.


“Tanpa sokongan kerajaan dan pihak Felda sudah pasti segala yang kami nikmati ini tidak akan dirasai. Hanya ucapan terima kasih dapat diucapkan kepada semua yang terlibat.


“Rasa seperti terima segulung ijazah. Keseluruhan peneroka di Felda Tersat seramai 185 orang dan baki 13 orang lagi akan terima geran hak milik selepas ini kerana masih ada perkara belum selesai,” katanya.


Bagi Mohamed Mat Zin, 61, dia seakan tidak percaya mendapat tahu geran hak milik yang  sekian lama dinanti-nantikan itu disampaikan sendiri oleh pemimpin nombor satu negara.


“Geran hak milik ini adalah hadiah paling bermakna buat saya, rasa gembira bertambah-tambah kerana dapat jumpa PM. Terima kasih kepada semua pihak yang berkaitan,” ujarnya


Sementara itu, seorang penerokawati, Zainun Ngah, 63, berkata dia bersyukur kerana penantian itu berakhir dan pastinya insan paling gembira ialah suaminya, Setia Majid, 57, yang kini alami alami  strok.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]