Pendatang baharu tidak gusar

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – Bagi pendatang baharu dunia politik, Seah Shoo Chin yang bertanding menentang dua calon ‘heavyweight’ di Dun Kesidang pada PRU14 ini sedikit pun tidak menggusarkan beliau.    


Malahan bagi Shoo Chin, 35, beliau yakin bahawa sokongan pengundi di Dun Kesidang akan terus berpihak kepada DAP sebagaimana sebelum ini.


Dun Kesidang akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU14 ini di mana Shoo Chin akan berhadapan bekas Adun Bemban, Datuk Ng Choon Koon yang akan bertanding atas tiket BN dan calon Bebas yang juga bekas Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San.


Menurut bekas jurutera ini, beliau sama sekali tidak menyangka akan diturunkan sebagai salah seorang calon DAP untuk PRU14 walaupun beliau banyak melakukan kerja untuk parti di Parlimen Jasin.


Menurutnya, sehingga kini majoriti pengundi di Dun Kesidang sudah dapat menerima beliau sebagai calon walaupun bukan seorang anak tempatan.


“Saya percaya ramai daripada mereka yang menerima dan menyokong saya kerana mereka tahu apa yang telah saya lakukan untuk orang Jasin sebelum ini,” katanya.


Shoo Chin berkata, beliau tidak memandang mudah cabaran yang bakal dihadapinya walaupun ramai beranggapan bahawa Dun Kesidang adalah kerusi selamat untuk pakatan pembangkang.


“Saya percaya DAP akan dapat mempertahankan kerusi berkenaan walaupun ia membabitkan pertandingan tiga penjuru.


“Di pihak saya, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan sokongan pengundi,” katanya.


Menurutnya, walaupun Leong San yang sebelum ini ialah Adun Duyong dan cukup disenangi penduduk tempatan sebelum meninggalkan DAP, namun beliau yakin pengundi Dun Kesidang akan terus menyokong DAP pada PRU14 ini.


“Beliau (Leong San) adalah seorang yang baik dan banyak menyumbang kepada parti (DAP). Tetapi kita perlu melihat ke hadapan dan melakukan perubahan,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]