‘Rajin-rajinlah jenguk makcik’

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Makcik gembira masih ada yang sudi melihat makcik di rumah ini. Bukannya harap datang hari-hari tetapi rajin-rajinlah ‘jenguk’ makcik,” kata Juminah Kasanmongin, 84.


Juminah merupakan antara warga emas yang menerima bantuan barangan keperluan harian disumbangkan Jabatan Penerangan, selain melihat tahap kesihatan warga emas di Kampung Temehel, Yong Peng, di sini.


Menurutnya, inilah kali pertama rumahnya dikunjungi oleh rombongan agensi berkenaan yang datang memberikan beberapa barangan untuk kegunaannya sekali gus membantu meringankan beban.


“Sebelum ini hanya pegawai JKM saja yang datang, itu pun hanya beberapa orang saja, mereka datang memberikan borang dan kemudiannya memaklumkan bantuan yang layak makcik dapat.


“Harapan makcik lepas ini, rajin-rajinlah semua datang ke sini, bukannya ada apa pun di sini tetapi sekurang-kurangnya terhibur sikit hati ini selain rasa dihargai serta disayangi,” katanya ketika ditemui di kediamannya dalam Program Kembara Jalinan Kasih Jabatan Penerangan Johor yang membabitkan 10 rumah penduduk.


Hadir sama dalam program berkenaan ialah Pengarah Penerangan Negeri Johor, Zainudin Ismail; Pegawai Penerangan Daerah Batu Pahat, Amah Yunos dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Mohd Haffiz Ahmad.


Sementara itu, Zainudin berkata, program seperti ini akan dilakukan di beberapa kawasan bagi setiap daerah bagi membantu mereka yang memerlukan terutamanya yang sakit terlantar, warga emas dan sebagainya.


Katanya, di Batu Pahat, pihaknya mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah Batu Pahat dan kawasan lawatan akan dibahagikan kepada empat iaitu Ayer Hitam, Parit Sulong, Batu Pahat dan Sri Gading.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]