Siapa kenal orang ini?

in Edisi by


MUADZAM SHAH – Seorang lelaki tanpa identiti dipercayai warga asing meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah pada 14 April lalu.


Justeru polis meminta mana-mana individu atau pihak yang mungkin mengenali si mati tampil membantu supaya  urusan pengebumian dapat dilakukan.


Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata, si mati dibawa oleh orang awam dalam keadaan cedera di kepala dan tidak sedarkan diri ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 5 April lalu.


Menurutnya, pihak HKL telah melakukan pembedahan sebelum lelaki berkenaan ditahan di sana selama tujuh hari.


“Pesakit ditukarkan ke Hospital Muadzam Shah disebabkan ruang di sana (HKL) penuh.


“Dalam tempoh ini tiada saudara-mara atau kenalannya datang melawat. Selepas tiga hari di Hospital Muadzam Shah pesakit meninggal dunia pada 14 April lalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Azli berkata, selain tiada dokumen pengenalan diri, pesakit juga tiada suntikan BCG dan tidak berkhatan sekali gus dipercayai warga negara asing.


“HKL ada bagi nombor dan nama dipercayai milik di mati namun hasil semakan ia tidak wujud dan tiada rekod keluar masuk negara.


“Ciri-ciri fizikal si mati berbadan kurus dan usia lingkungan awal 40-an. Jadi sesiapa yang mengenalinya diminta tampil untuk membantu selesaikan proses pengebumian. ,” katanya.


Sebarang pertanyaan boleh hubungi Pegawai Penyiasat Balai Polis Muadzam Shah, Sarjan Mejar Salem Awang di talian 0139802366.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]