TFC II dipalit ‘badi’ seri

in Sukan by


PASUKAN Terengganu FC II (TFCII) gagal mencipta kebangkitan apabila terpalit dengan keputusan seri buat kali ketiga berturut-turut setelah terikat 1-1 ketika turun melayan kunjungan Felcra FC dalam aksi saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Pada pertemuan itu menyaksikan kem tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat menerusi gerakan cantik Andrew Anderson Jean-Baptiste seawal minit pertama perlawanan, namun gagal disempurnakan dengan cemerlang Ahmad Takhiyuddin Roslan, sebelum rembatan Andrew Jean-Baptiste turut tersasar dari pintu gol.


Dua percubaan awal itu jelas menyuntik semangat skuad kendalian Mustaffa Kamal Abdul Wahab dalam memburu jaringan dan peluang buat TFC II untuk meledakkan gol hadir pada minit ke-10 tetapi rembatan leret Ahmad Takhiyuddin dinafikan Mohamad Fadzley Abdul Rahim.


Pelawat yang sesekali melakukan asakan ke benteng pertahanan tuan rumah turut berpeluang membuka jaringan menerusi percubaan Anselmo Arruda Da Silva (m13) dan Endrick Dos Santos Parafita (m14), namun Mohd Suhaimi Husin terlebih bertindak cemerlang menyelamatkan gawang gol.


Kedua-dua pasukan terus berbalas serangan bagaimanapun masing-masing gagal menjaringan gol sehingga membawa perlawanan ke bilik persalinan.


Bersambung babak kedua memperlihatkan masing-masing memperkemaskan rentak permainan dan kem pelawat akhirnya berjaya menamatkan penantian gol menerusi rembatan kencang Mohammad Not Ubaidullah Ab Rahman pada minit ke-53 untuk membawa Felcra FC di depan.


Jaringan itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat kem tuan rumah apabila bangkit menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-61 hasil rembatan padu Akanni Sunday Wasiu selepas bijak memanfaatkan lorongan Muhammad Zulasyraf Zulkiefle.


Kem tuan rumah dilihat terus bekerja keras untuk mencari jaringan kemenangan dan peluang keemasan hadir pada masa tambahan, bagaimanapun gagal disudahkan dengan kemas Akanni Sunday apabila rembatannya sekadar melepasi palang gol hasil serangan kilatSebastian Maurice Thuriere.


Kedua-dua pasukan akhirnya terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 setelah masing-masing gagal menambah jaringan sehingga tamat perlawanan.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]