Tsunami Melayu terhadap pembangkang hanya angan Mat Jenin

in Edisi by


BERA – Desas-desus kononnya akan berlaku berlaku tsunami Melayu terhadap pembangkang  hanyalah sekadar ‘angan-angan Mat Jenin’ yang akan menjadi harapan sia-sia pembangkang.


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya tsunami Melayu akan memihak kepada BN berikutan situasi pembangkang PKR yang lebih dikuasai DAP.


“Orang Melayu sudah tahu siapa yang berkuasa dalam gabungan pembangkang PKR ini, iaitu DAP dan ini menyebabkan ramai dalam kalangan pengundi Melayu yang dulu selesa berada dengan pembangkang akan berpindah kepada parti kerajaan.


“Maknanya tsunami Melayu ke arah mereka (pembangkang) adalah angan-angan Mat Jenin, kemungkinan besar tsunami Melayu berlaku dari pembangkang kepada BN kerana tahu yang semua pemimpin Melayu mereka itu diperalatkan DAP yang anti Islam,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kilang Pusat Pemprosesan, Pembungkusan dan Pengumpulan Industri Asas Tani di Bandar 32 di sini, hari ini.


Menurut Ismail Sabri, sokongan kaum Melayu dan bumiputera termasuklah masyarakat Orang Asli terhadap kerajaan semakin bertambah baik dengan kepelbagaian pendekatan dalam membantu masyarakat itu.


Katanya, beliau berkeyakinan dengan apa yang dilakukan kerajaan selama ini akan menyebabkan kelompok yang dahulunya menyokong pembangkang beralih kepada BN begitu juga pengundi atas pagar.


“Apa yang diberikan oleh kerajaan tidak memungkinkan pemindahan pengundi dan seperti saya kata tadi masyarakat luar bandar ini  tahu bersyukur dan berterima kasih kepada orang yang memberi dan sebagainya,” katanya.


Sementara itu, Ismail Sabri yang juga calon BN Parlimen Bera berkata, pembinaan kilang bernilai RM1.2 juta yang akan beroperasi dalam waktu terdekat itu akan memberikan impak dalam meningkatkan lagi usahawan Melayu dan bumiputera yang berdaya saing.


“Dengan adanya kilang ini, saya percaya kita akan  mencapai sasaran mewujudkan 50 usahawan BeraBest menjelang tahun hadapan yang mampu memasarkan produk berkualiti dan berdaya saing dalam dan luar negara,” kata beliau.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]