Israel tak jadi rebut kerusi UNSC

in Global by


NEW YORK – AMERIKA SYARIKAT. Israel menarik diri daripada bertanding untuk meraih keanggotaan dalam Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi penggal 2019-2020, susulan bantahan dari beberapa negara Arab.


Keputusan itu bakal memberi laluan kepada Belgium dan Jerman untuk menduduki dua kerusi yang diagihkan bagi rantau berkenaan, apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan pemilihan pada perhimpunan agungnya bulan depan.


Ia adalah percubaan pertama Israel untuk memenangi kerusi dalam Majlis Keselamatan yang mempunyai 15 anggota.


Bagaimanapun, tiada alasan diberikan berhubung penarikan diri itu.


Tetapi berdasarkan situasi semasa, Israel diramal tewas kepada Belgium dan Jerman dalam proses undian pada 8 Jun ini.


Bulan lalu, Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki, berkata negara-negara Arab akan berusaha sedaya upaya untuk meyakinkan sebanyak mungkin anggota PBB untuk tidak mengundi Israel bagi meraih kerusi dalam Majlis Keselamatan.


Malah, pada sidang kemuncak negara-negara Arab di Riyadh baru-baru ini, Riyad turut menaruh keyakinan bahawa negara Islam dan Arab mampu memperoleh jumlah undi yang mencukupi untuk menghalang hasrat Israel itu.


Selain Jerman dan Belgium, Afrika Selatan serta Republik Dominica dijangka memenangi dua daripada lima kerusi yang dipertandingkan, manakala Indonesia dan Maldives bakal merebut satu kerusi bagi rantau Asia Pasifik. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]