Jasa BN sudah terbukti!

in Edisi Selangor KL by


SUNGAI BURONG – Keprihatinan kerajaan BN dapat diterjemahkan dengan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan kepada penduduk khususnya di Dun Sungai Burong.


Penyandang kerusi Dun Sungai Burong sejak tiga penggal lalu, Datuk Mohd Shamsudin Lias tidak menafikan terlalu banyak bantuan disalurkan untuk penduduk yang rata-ratanya petani, pesawah, penternak dan nelayan.


Menurut mantan pegawai daerah itu, hanya kerajaan BN sahaja yang terbukti benar-benar membela nasib rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik, bangsa dan agama.


“Kalau bukan kerana BN yang menggunakan lambang dacing ini, saya tentunya tak mampu nak membantu membela nasib penduduk khususnya pengundi di Dun Sungai Burong.


“Sumbangan yang diberikan ini berterusan dan bukannya kerana kempen pilihan raya dan pastinya, lagi banyak manfaat dinikmati jika BN terus memerintah,” katanya.


Mengulas lanjut katanya, pengundi perlu bijak menilai kerajaan yang lebih baik mentadbir negeri ini adalah BN kerana bantuan berterusan terhadap golongan sasaran.

Bantuan input pertanian untuk petani muda turut menjadi keutamaan Mohd Shamsudin


“Saya pun berkempen atas tiket BN malah pengundi bukannya pangkah muka calon tetapi lambang dacing yang dibawa BN. Sebab itu, kerajaan BN cukup prihatin dengan kebajikan rakyat.


“Sebagai contoh, kebajikan pesawah cukup dijaga termasuk bantuan khas sebanyak RM600, insentif dan input pertanian. Nelayan pun dijaga dengan elaun sara hidup, subsidi diesel dan banyak lagi.


“Terlalu banyak yang BN bantu dan janganlah terlalu mudah percaya dengan fitnah yang disebarkan pembangkang hanya kerana mahu meraih undi ketika kempen pilihan raya,” katanya.


Khidmat sepanjang 15 tahun


Mohd Shamsudin tidak menafikan, tanpa sokongan pengundi yang menyokong BN sudah pasti pihaknya tidak mampu untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat sepanjang tempoh 15 tahun.


“Tempoh tiga penggal ini bagi saya sudah cukup lama dan pernah menyuarakan hasrat untuk bersara dan memberi laluan kepada calon muda namun khidmat masih diperlukan untuk misi khas memenangkan BN bagi menawan Selangor.


“Sebab itu, bagi jentera BN Dun Sungai Burong, saya akan pastikan sokongan pengundi akan terus meningkat dan mengukuhkan kubu kuat Umno BN di Tanjong Karang.


“Saya yakin dan percaya, sokongan pengundi terhadap BN akan terus meningkat sekali gus mencapai misi menawan semula negeri ini,” katanya pada Program Santai Bersama Pengundi di Kampung Sungai Tengi Kanan.


Bercakap mengenai bentuk program mendekati rakyat yang diamalkan, Mohd Shamsudin berkata, sudah menjadi kelazimannya menziarahi penduduk setiap minggu bagi meringankan beban.


“Saya terkesan dengan program sentuhan kasih yang dibuat kerana penduduk cukup menghargai keberadaan wakil rakyat ketika mereka susah mahupun senang.


“Sebagai contoh, jika sebelum ini saya kunjungi pesakit kencing manis, dari dia hilang jari hingga kudung kakinya, saya tetap mengunjungi dan mereka cukup suka.


“Kita datang dengan niat untuk membantu ringankan beban dan pada masa sama, bawa sekali agensi kerajaan berkaitan untuk salurkan bantuan yang bersesuaian kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.


Undilah BN untuk Selangor lebih baik


Mohd Shamsudin berkata, beliau turut komited dalam memperjuangkan supaya pusat hemodialisis dapat diwujudkan di hospital lama selepas operasi berpindah ke hospital baharu selesai nanti.


“Bila operasi pengurusan hospital berpindah ke hospital baharu, saya mohon supaya pusat hemodialisis lebih besar dapat disediakan untuk penduduk yang memerlukan perkhidmatan itu di kawasan ini.


“Sudah pastinya keperluan penduduk dibela sebaiknya dan undilah BN untuk menjadikan Selangor yang lebih baik,” katanya yang sentiasa memastikan bekalan 10 kerusi roda sentiasa ada dalam simpanan untuk kegunaan rakyat.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]