Jentera mantapkan kunci kejayaan parti

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


PALONG – Jentera yang mantap adalah kunci kejayaan parti, itu antara ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di hadapan penduduk ketika mengadakan lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Palong 2.


Mohamad yang juga calon Dun Rantau mengatakan, jentera BN yang digandingkan jentera wanita termasuk Jalinan Rakyat Plus sememangnya boleh mencapai kemenangan.


“Ini kerana mereka pandai membuat teknik yang tersendiri bagi meraih pengundi.


“Saya yakin kita boleh membentuk kerajaan kerana kita akan pasti dapat mengekalkan kerusi Dun sebanyak 22 termasuk kerusi Dun Jeram Padang,” katanya.


Dalam pada itu, Mohamad turut mengulas kerajaan negeri tiada masalah untuk memberi kelulusan membina rumah generasi kedua Felda.


“Kerajaan juga akan menaik taraf jalan Felda dengan peruntukan kerajaan negeri. Fasa pertama kita akan naik taraf jalan di Felda Raja Alias di Serting.


“Begitu juga permintaan calon kita, Datuk L Manickam (Dun Jeram Padang) untuk pasang lampu sepanjang jalan masuk ke Felda Bukit Rokan,” katanya.


Dalam pada itu, Mohamad berkata, untuk membentuk kerajaan yang kukuh dan mantap BN mesti menang 2/3 kerusi di Dun dan Parlimen Dalam PRU14.


Sementara itu, Manickam merakamkan terima kasih kepada Mohamad kerana meletakan kepercayaan terhadapnya dan memberi peluang sekali lagi bertanding di Dun Jeram Padang.


“Saya akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Dun Jeram Padang.


“Kehadiran menteri besar memberi satu suntikan semangat untuk saya bekerja kuat lagi untuk capai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar berbanding dengan PRU lalu.


“Jentera BN daripada komponen parti dan rakan parti beri kerjasama dan sokongan kuat bagi jamin kemenangan calon BN,” katanya.

 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]