‘Kehadiran dinanti, hilang dirindui’

in Edisi Johor by


MUAR – “Seorang pemimpin yang baik kehadiran dinanti, kehilangannya dirindui. Sekiranya ALLAH memberi peluang saya jadi pemimpin, saya harap suasana itu yang dapat saya tanamkan dalam jiwa masyarakat.”


Kata-kata itu disuarakan calon Pas Parlimen Muar, Abdul Aziz Talib, 60.


Menurut Abdul Aziz yang juga pesara guru, pertama kali dipilih sebagai calon wakil rakyat, beliau akui terkejut lantaran tidak menyangka namanya turut disenaraikan sebaik menamatkan kerjayanya.


Bagaimanapun, beliau yang juga Yang Dipertua Pas Muar berkata, amanah berkenaan tetap digalas dalam usaha membawa kemenangan kepada parti itu bagi misi menyejahterakan Islam.


“Meskipun ini pengalaman pertama saya berkempen mendekati masyarakat atas title bakal wakil rakyat, tapi saya tidak kekok berikutan kerja-kerja seumpama ini dah sebati dengan jiwa saya.


“Sejak awal saya libatkan diri dalam Pas pada 1984, saya dah biasa jadi individu belakang tabir yang bantu pergerakan parti. Saya ikut macam-macam kerja kebajikan, kerja amal, bantu calon berkempen dan pelbagai lagi. Jadi dengan izin ALLAH, saya akan usaha untuk pikul amanah ini,” katanya kepada Sinar Harian.


Dalam pada itu, bapa kepada tujuh anak ini akui bergelar bekas pendidik turut banyak membantu beliau mendekati masyarakat.


Beliau yang juga anak bekas guru akui tindakannya hari ini juga adalah kerana mengikuti jejak langkah bapanya sertai Pas semasa dalam perkhidmatan lagi.


“Ayah saya mempunyai anak murid tersendiri dan masa itu membuat keputusan melibatkan diri dengan Pas dan serentak itu, anak murid serta seluruh warga kampung Parit Amal Laut juga ikut serta bersama-sama Pas.


“Bila kenang semula perkara itu, saya memang bangga dengan bapa saya dan saya cuba jadi seperti dia untuk sama-sama mengajak orang ramai sertai Pas,” katanya.


Abdul Aziz yang juga bekas guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Pinang Seribu di sini berkata, pengalaman berkhidmat sebagai guru sejak 1982 sehingga 2014 secara tidak langsung juga dapat memahami kehendak penduduk.


“Kita sebagai guru tahu rungutan ibu bapa, mereka yang dah berkeluarga hadapi bebanan ekonomi sejak akhir-akhir ini. Pengalaman ini saya guna dan cuba selesaikan masalah rakyat.


“Selain itu, saya juga tidak berhadapan masalah mengenali dan meninjau golongan susah, permasalahan infrastruktur dan sebagai lagi. Sebab masa jadi guru dulu, perkara itu dah banyak bantu saya untuk mengetahui keperluan penduduk Muar termasuk kawasan yang kampungnya mempunyai keluarga susah,” katanya.


Malah, menurutnya, tiada masalah mendekati penduduk sepanjang berkempen berikutan kebanyakan masyarakat sudah mengenalinya.


Strategi  diguna pertembungan tiga penjuru


Sementara itu, ditanya strategi beliau berhadapan dengan dua lagi lawannya, Abdul Aziz berkata, strategi yang diterapkannya adalah lebih kepada pendekatannya selaku penduduk tempatan.


“Saya bukan asing di Muar, jadi kaedah saya sepanjang berkempen memang mendekati masyarakat yang dah dianggap macam sahabat handai sendiri.


“Selain itu, bantuan daripada dua sahabat saya iaitu Dr Mohammad Taslim, calon Dun Maharani (N15) dan Cheman Yusoh bagi Dun Sungai Balang (N16) sangat membantu kami melancarkan strategi dan gerak kerja dalam tempoh kempen ini.


“Pada masa sama, sentuhan kita juga berbeza sebab kami amalkan budaya politik matang dan sejahtera tanpa politik menyerang,” ujarnya.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]