Kemunculan nama besar pembangkang sekadar gimik politik

in Politik by


HANG TUAH JAYA – Kehadiran nama-nama besar pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) tidak menjejaskan penyokong BN di Parlimen Hang Tuah Jaya.


Calon parti itu, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, ia sebaliknya hanyalah sebahagian daripada gimik Harapan untuk menarik pengundi menyokong mereka. “Mereka selalu mengatakan nama-nama besar akan membantu kempen mereka.


Saya percaya ini adalah gimik politik dan jika benar nama-nama besar itu turun berkempen, kita bersedia menangkis tohmahan dan fitnah mereka.


“Itu adalah taktik terdesak kerana mereka (Harapan) tahu PRU14 tidak memihak kepada mereka,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Muafakat Peladang di Dewan Demang Husin di sini, semalam.


Ceramah Perdana di Bukit Piatu kelmarin, dihadiri tiga pemimpin Umno dan BN suatu ketika dahulu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz.


Parlimen Hang Tuah Jaya menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Tan Sri Mohd Ali, calon Pas Dr Md Khalid Kassim dan calon PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.


Pada PRU13 lalu, Mohd Ali tewas di tangan Shamsul Iskandar dengan majoriti 5,447 undi.


Sementara itu, Mohd Ali yang juga mantan ketua menteri Melaka berkata, setakat ini sambutan pengundi terhadap calon BN dilihat amat baik.


“Senario politik kali ini jelas berpihak kepada BN kerana mereka tahu wakil mereka yang lalu tidak memberi perkhidmatan.


“Jadi kali ini mereka mahu berubah angin untuk memberi sokongan kepada calon BN,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]