Pas nekad pertahan kerusi Dun Meru, Selat Klang

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Pas Kawasan Kapar nekad mempertahankan kerusi Dun Meru dan Dun Selat Klang yang dimenangi parti itu pada PRU13 lalu bagi meneruskan khidmat dan kesinambungan parti Islam itu dalam PRU14 kali ini.


Yang Dipertuanya, Noor Najhan Mohd Salleh berkata, pada masa sama Pas Kawasan turut mahu melebarkan kemenangan di Parlimen Kapar dan Dun sementa yang tidak ditandingi parti itu sebelum ini.


“Kita perlu pertahankan kedua-dua kerusi itu bagi meneruskan sumbangan dan khidmat bakti penyandangnya, Dr Abdul Rani Osman (Meru) dan Dr Halimah Ali (Selat Klang).


“Banyak perubahan dan pembangunan yang telah dibawa kedua-duanya bahkan permasalahan seperti banjir di Meru juga sudah dapat diselesaikan hasil perjuangan Abdul Rani selama tiga penggal di kerusi itu,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menziarahi seorang penduduk, Zaharudin Ismail, 45, yang menghadapi masalah tulang belakang di kediamannya di Kampung Cerakah Jaya, Meru, di sini, hari ini.


Beliau yang juga calon Pas Dun Meru berkata, meskipun Meru dimenangi Pas selama tiga penggal sebelum ini namun pihaknya tidak mahu meletakkan diri dalam kedudukan yang selesa.


“Memasuki hari kelima berkempen, ketika saya turun ke daerah-daerah mengundi di sini ia menampakkan kemenangan ada di hadapan¬† namun kita tidak mahu terus selesa sebaliknya kita berterusan menjalankan gerak kerja bersama rakan-rakan.


“Kita akan terus mengejar visi itu supaya kemenangan itu dapat dikekalkan dan akhirnya kita dapat perintah Selangor, InsyaALLAH,” katanya.


Pada masa sama, Noor Najhan bertekad mahu meneruskan kerja-kerja bakti Abdul Rani sebelum ini yang disifatkan sebagai wakil rakyat terbaik yang telah berbakti kepada rakyat Meru.


Sebagai rekod, di Dun Meru kali ini menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Noor Najhan Mohd Salleh (Pas), Khairul Anuar Saimun (BN), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Pakatan Harapan), Alex Shee Chee Weng (Bebas) dan PRM, S Manikavasagam.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]