Pembaharuan untuk Bagan Dalam

in Edisi Utara by


PELBAGAI perancangan dan pembangunan diatur kepada penduduk di kawasan Bagan Dalam sekiranya BN diberi mandat pada PRU14.


Calon BN Bagan Dalam, J Dhinagaran berkata, sepanjang tujuh hari berkempen di kawasan berkenaan, pelbagai isu dan permasalahan rakyat diluahkan kepadanya.


“Saya bukan baru tujuh hari di kawasan Bagan Dalam malah telah bekerja untuk masyarakat di sini sejak dua tahun lalu. Sepanjang berkempen di sini ramai yang bertanya apakah perkembangan positif selama 10 tahun kerajaan DAP memerintah negeri ini?


“Banyak permasalahan yang berlaku di sini tidak dapat ditangani dengan baik oleh wakil rakyat terdahulu. Jadi saya bersama dengan jentera mengambil peluang untuk mendengar keluhan rakyat di sini dan menyelesaikan beberapa isu yang berbangkit. Daripada respons yang diberikan saya yakin kali ini masyarakat akan kembali memberi sokongan kepada BN,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan kempen jalan santai di Pasar Awam Taman Bagan, di sini pagi semalam.


Dhinagaran yang juga Ahli Majlis Kerja Pusat MIC Kebangsaan berkata, sekiranya beliau diberi peluang pada PRU14 ini, beliau akan memberi keutamaan kepada soal kebajikan kepada penduduk di kawasan berkenaan selain memfokuskan kepada pembangunan modal insan.


Katanya, beliau juga menyediakan manifesto khas untuk rakyat Bagan Dalam sebagai aku janji dan akan melaksanakan melalui dua kaedah iaitu perancangan 100 hari pertama dan selepas 100 hari bergelar wakil rakyat.


Antara yang terkandung dalam manifesto beliau adalah menyediakan khidmat van penghantaran pesakit ke hospital secara percuma, suntikan thypoid percuma kepada peniaga dan pengendali makanan, bantuan dan pinjaman tabung oksigen serta katil hospital dan kelas tuisyen percuma untuk pelajar UPSR, PT3 dan SPM yang layak.


Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) berkata, golongan belia di kawasan berkenaan memerlukan tempat untuk mereka beriadah.


Katanya, beliau akan mewujudkan gelanggang futsal dan bola keranjang di kawasan berkenaan selain gimnasium rakyat dan padang bola sepak.


“Bagi meningkatkan tahap keselamatan, saya akan menambahkan jumlah lampu jalan dan juga kamera litar tertutup di kawasan ini selain bercadang untuk menubuhkan skuad sukarelawan pembersihan alam sekitar, bencana dan kecemasan.


“Bagi memastikan kesejahteraan penduduk di sini, saya juga akan mewujudkan townhall pihak berkuasa tempatan bersama penduduk secara berkala bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi masyarakat di sini,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]