Pembinaan Hospital Pasir Gudang bukan gimik PRU

in Edisi Johor by


PASIR GUDANG – Pembinaan Hospital Pasir Gudang bernilai RM500 juta di Bandar Seri Alam, di sini, bukan sekadar cakap kosong kerajaan atau mahu dijadikan gimik sempena PRU yang sedang berlangsung kini.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan mempunyai keyakinan tinggi terhadap projek terbabit yang mana dijangka akan menjadi pusat perubatan termoden di negeri ini.


Menurutnya, beliau juga akan menjadi orang pertama yang bersuara sekiranya projek yang memulakan pembinaannya tahun ini itu tidak dapat dilaksanakan atau berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.


“Percaya tak percaya projek itu akan jalan, kritikan dalam media sosial kebanyakan tidak percaya, dia kata ini gimik, tapi biasa saya tidak terlibat dengan apa-apa gimik. semua apa yang saya nyatakan ada lebih-lebih lagi ini adalah kawasan saya.


“Ini juga bagi menjawab mereka yang negatif terhadap majlis dan projek ini. Mereka tidak percaya yang projek ini akan jalan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran projek Hospital Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, di sini, semalam.


Mohamed Khaled berkata, Hospital Pasir Gudang itu juga akan menjadi pemacu peningkatan fasiliti dan kemudahan awam yang berada di kawasan tersebut.


“Bagi Pasir Gudang ini satu lagi usaha untuk kita melengkapkan keperluan masyarakat dalam kawasan ini, dan kita akan rancang supaya ini diteruskan. Sekarang kawasan ini ia bukan pasal soal keperluan lengkap tapi jenis dan kualiti lebih tinggi.


“Inilah yang akan menjadi harapan wakil rakyat yang menang. Kualiti fasiliti ini sentiasa menjadi matlamat kerana Pasir Gudang ini terlatak di bahagian timur Wilayah Iskandar. Ia penyumbang kepada pertumbuhan yang pesat dalam wilayah ini,” katanya.


Mengulas mengenai hospital berkenaan, Mohamed Khaled berkata, pembinaannya akan memakan masa empat tahun dan dijangka siap menjelang 2022.


“Ia akan dilengkapkan dengan 304 katil, 36 unit Kuarters Kelas G, 50 unit asrama jururawat dan bangunan-bangunan sokongan dan teknikal yang lain.


“Hospital ini juga akan dapat menampung dan memberi nilai tambah kepada dua hospital kerajaan iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) serta 11 hospital swasta yang lain, termasuklah tiga di Pasir Gudang,” katanya.


Katanya, pembinaan Hospital Pasir Gudang juga dapat mengurangkan 30 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di HSA dan HSI, sekali gus mengurangkan kesesakan di hospital berkenaan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]