Salute ibu dalam pantang ni…

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Ibu dalam pantang antara 934 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta isteri yang keluar mengundi awal di Kem Sri Pantai, 18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) (Para), Seberang Takir, di sini, tadi.


Noratira Johari, 25, yang masih dalam 22 hari berpantang selepas melahirkan anak kedua dan suaminya, Koperal Mohd Syahrol Ridzuan Mohd Sani selesai membuat pengundian awal kira-kira jam 9.30 pagi.


Menurut Noratira, meskipun berdepan sedikit kesusahan memandangkan masih lagi dalam tempoh berpantang, dia tetap menguatkan diri untuk keluar mengundi yang hanya berlaku lima tahun sekali itu.


“Walaupun ada sedikit kesusahan tetapi saya tetap gagahkan diri untuk membuang undi.


“Rasa berdebar-debar (masa hendak buang undi) macam hendak ambil peperiksaan,” katanya yang turut membawa bayi kecilnya Mohd Syukran.


Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kuala Nerus, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil berkata, setakat jam 11 pagi seramai 223 atau 30 peratus pengundi telah keluar mengundi.


“Proses pengundian awal di Kem Sri Pantai berjalan lancar melalui dua saluran yang dibuka,”katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]