Sambutan 100 Tahun Industri Sawit

in Bisnes by


LARIAN 100 Tahun Sawit yang bakal berlangsung pada 13 Mei ini di Putrajaya melengkapkan sambutan ulang tahun ke 100 penanaman sawit secara komersial di Malaysia.


Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam kenyataan media berkata, lebih 4,000 peserta terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri sawit, generasi kedua, pelajar dan masyarakat umum dijangka bakal memeriahkan larian tersebut.


Katanya, siri Larian 100 Tahun Sawit dimulakan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bersama MPOB dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di Lahad Datu, Sabah pada 17 Disember 2017 dan Kuching, Sarawak pada 28 Januari 2018.


“Bagi program larian di Putrajaya ia terbahagi kepada dua kategori iaitu 10km dan 5km. Program ini menawarkan hadiah menarik dan penyertaan peraduan sempena ulang tahun 100 tahun industri sawit negara,” katanya.


Dalam pada itu, sambutan 100 Tahun Industri Sawit Malaysia bakal dilancarkan oleh perdana menteri pada 18 Mei 2017 di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya, Kuala Selangor.


“Dengan tema, Minyak Sawit Malaysia, Kebanggaan dan Pencapaian Kita, sambutan ulang tahun 100 tahun industri sawit bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat umum mengenai pencapaian dan sumbangan industri sawit kepada kesejahteraan ekonomi negara dan industri minyak sayuran global,” katanya.


Bagi meningkatkan pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai industri sawit negara, MPOB dan Kementerian Pendidikan turut menganjurkan Program Negaraku, Sawitku dan Pertandingan Mural 100 Tahun Industri Sawit Negara yang melibatkan penyertaan sekolah menengah dari seluruh negara.


Pemenang pertandingan akan di umum sempena Larian 100 Tahun Sawit yang merupakan acara penutup sambutan 100 tahun industri sawit.


Industri sawit negara terus berkembang pesat


Dalam tempoh 100 tahun lalu, industri sawit negara telah melalui perkembangan pesat dan pencapaian membanggakan sebagai pemacu sektor pertanian dan penjana ekonomi negara yang menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih empat juta penduduk.


Pencapaian negara dalam membangunkan industri sawit dan peneraju bidang penyelidikan dan teknologi dalam semua aspek sawit mengharumkan negara di peringkat global.


Sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara negara pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit dunia.


“Dengan keluasan tanaman sawit 5.84 juta hektar iaitu lebih 70 peratus kawasan pertanian negara, Malaysia mengeluarkan hampir 20 juta tan minyak sawit yang menjana pendapatan eksport sebanyak RM77.8 bilion pada tahun 2017.


“Lebih membanggakan hampir 40 peratus pengeluaran minyak sawit negara dihasilkan oleh 650,000 pekebun kecil di seluruh negara,” katanya.


Tambahnya, dua negara pengeluar utama, Malaysia bersama Indonesia menyumbang hampir 80 peratus pengeluaran minyak sawit dunia.


Malaysia mengeksport ke lebih 200 buah negara termasuk negara pengimport utama seperti India, Kesatuan Eropah dan China.


“Minyak sawit menjadi pilihan pengguna seluruh dunia kerana kelebihan berbanding minyak sayuran lain. Ia juga kaya dengan khasiat pemakanan dan harga yang kompetitif.


“Keistimewaan minyak sawit menjadi pilihan pengeluar produk makanan termasuk jenama luar negara seperti Ferro Roche dan Nutella yang dikeluarkan oleh syarikat di Perancis,” katanya.


Penglibatan awal syarikat perladangan Eropah termasuk Sime Darby, Guthrie, Harrison and Crossfield, United Plantations telah mengembangkan penanaman sawit di Malaysia.


Strategi kerajaan melalui skim pembangunan tanah pertanian menyedia peluang kepada penduduk luar bandar menikmati taraf kehidupan yang lebih baik melalui  penanaman sawit di bawah kelolaan Felda.


Kini peneroka yang berada di skim Rancangan Tanah Felda telah memiliki tanah dan memperoleh pendapatan tetap hasil penanaman sawit serta menikmati kemudahan infrastruktur yang sempurna.


Perkembangan industri sawit secara teratur dikawal selia oleh MPOB melalui peraturan  pelesenan dan pematuhan peraturan berkaitan alam sekitar dan amalan mampan.


Pembangunan industri sawit berpaksikan tiga tunggak kemampanan iaitu pembangunan sosial, alam sekitar, dan pembangunan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.


Pensijilan MSPO tingkat produktiviti, kualiti hasil sawit


Bagi meningkatkan kemampanan industri sawit negara, kerajaan telah melaksanakan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).


Pensijilan ini menyasarkan pengeluaran minyak sawit mampan sepenuhnya pada akhir tahun 2019.


Pelaksanaan pensijilan MSPO secara mandatori termasuk penglibatan pekebun kecil yang dikendalikan oleh MPOB melalui penubuhan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) dan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM).


“Ia berupaya meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit melalui amalan yang mampan seterusnya meningkatkan imej kemampanan industri sawit negara  dan meneroka peluang pasaran di peringkat antarabangsa.


“Bagi memastikan industri sawit negara berdaya saing menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara dan pasaran minyak sayuran global, strategi masa depan menuju Transformasi Nasional dan kemajuan 100 tahun selanjutnya adalah berpaksikan teknologi moden dan amalan mampan meliputi semua sektor industri sawit,” katanya.




 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]