'Wajah bukan segalanya'

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Meskipun wajah tampannya mungkin berjaya menawan hati sebilangan wanita, namun bagi Kerk Chee Yee, wajah semata-mata tidak akan menjanjikan kejayaan pada PRU14 ini.


Malahan bagi Chee Yee, 25, apa yang jauh lebih penting dalam menarik sokongan pengundi adalah pembaharuan yang akan dibawa sekiranya kerajaan sedia ada berjaya digantikan.


Walaupun merupakan calon termuda yang akan bertanding di Melaka pada PRU14 ini, namun sehingga kini, Chee Yee, yang akan bertanding di Dun Ayer Keroh, dikatakan sudah melawat hampir 80 peratus daripada kawasan akan ditandinginya.


Chee Yee yang juga anak bekas Setiausaha Agung DAP, mendiang Kerk Kim Hock berkata, siri pertemuan beliau dengan masyarakat adalah positif dan percaya ia akan dapat membantu mempertahankan kerusi Dun Ayer Keroh.


Menurutnya, sepanjang pertemuan terbabit beliau banyak mendengar rintihan mereka mengenai permasalahan yang mereka hadapi serta apa yang mereka perlukan.


“Yang jelas, mereka amat prihatin dengan isu-isu nasional yang turut mempunyai kesan kepada mereka,” katanya.


Pada PRU13, calon DAP, Khoo Poay Tiong, berjaya mempertahankan kerusi Dun Ayer Keroh selepas menewaskan calon BN, Yong Fun Juan dengan majoriti 7,943 undi.


Pada masa sama, menurut Chee Yee, beliau turut berjaya menarik sokongan pengundi Melayu di kawasan berkenaan, mungkin kerana DAP bertanding menggunakan logo PKR pada PRU14 ini.


“Selain itu, saya percaya reputasi bapa saya sebagai seorang ahli politik yang bersih serta jasa beliau kepada rakyat turut membantu saya dalam mendapatkan sokongan umum,” katanya.


Ini sememang tidak boleh dinafikan kerana calon Bebas untuk Dun Duyong, Lim Jak Wong, sebelum ini adalah berkata, tujuan beliau menarik diri dari menentang Chee Yee di Dun Ayer Keroh adalah kerana hormatkan Kim Hock.


Malahan, dalam kenyataannya, beliau turut meminta pengundi Ayer Keroh supaya memberikan sokongan mereka kepada Chee Yee kerana yakin kemampuan anak muda ini.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]