Debat tak perlu permit- Penganjur

in Edisi Johor by


MUAR- Penganjuran debat antara calon Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Seri Razali Ibrahim yang dijadualkan berlangsung malam ini tidak memerlukan permit dari pihak polis.


Pengarah Akademi Penokohan Pemuda (Shield) yang juga penganjur program berkata, debat tersebut bukan sebuah perhimpunan yang memerlukan pemberitahuan kepada pihak polis menurut Akta Perhimpunan Aman 2012.


“Merujuk kepada laporan Sinar Online bertarikh 6 Mei 2018 yang bertajuk ‘Polis Tak Benarkan Debat Syed Saddiq, Razali’, Shield selaku penganjur bagi program Debat antara Syed Saddiq dan Dato Razali menegaskan bahawa program ini tidak memerlukan permit polis atas beberapa alasan-alasan.


“Program ini bukannya  perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka, hiburan awam terbuka, ucapan awam terbuka atau syarahan awam terbuka yang memerlukan permit daripada pihak polis menurut Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


“Sebaliknya, debat tersebut adalah  sebuah program persendirian yang diadakan di tempat persendirian iaitu Muar Traders Hodel yang mana penganjur telah pun mendapat keizinan daripada pemilik hotel,” katanya.


Menurutnya, debat tersebut juga bukannya anjuran mana-mana calon atau parti politik, sebaliknya ianya merupakan anjuran sebuah pertubuhan bebas yang mahukan satu perdebatan  matang kepada rakyat.


“Program ini juga bukannya satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang menurut Seksyen 141 Kanun Keseksaan.


“Tujuan penganjuran program debat tersebut juga tidak termasuk dalam Seksyen 141(a), (b), (c), (d) dan (e) Kanun Keseksaan ,” katanya.


Justeru itu, katanya, penganjur bertegas akan tetap meneruskan program debat tersebut pada malam ini jam 9.00 malam bertempat di Muar Traders Hotel.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]