Fokus tingkatkan ekonomi Hulu Perak

in Uncategorized by


GERIK – Struktur ekonomi setempat serta infrastruktur Bandar Gerik perlu diberi perhatian serius selepas mana-mana calon memenangi kerusi di Dun dan Parlimen Gerik.


Pengerusi Persatuan Anak Gerik di Perantauan (Pagar), Tajuddin Mohd Ali berkata, Hulu Perak mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan dan ia harus dimanfaatkan sebaiknya.


Menurutnya, sekiranya salah satu daripadanya mendapat sambutan maksima maka ia dijangka mampu menyumbang kepada kestabilan ekonomi penduduk setempat dengan adanya peluang mencari pendapatan.


“Masyarakat di Hulu Perak semakin matang dalam memilih parti dan calonnya malah semakin bijak menilai isu-isu politik dalam dan negara. Justeru, kuasa pemilih kini terbahagi kepada dua.


“Pertama, golongan yang masih merasakan mereka berada di bawah zon selamat di bawah sistem parti memerintah. Kedua, kumpulan penyokong yang cari alternatif dan berharap kepada perubahan.


“Apa pun, yang lebih penting adalah selepas ini pihak berkenaan cuba mencari jalan bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.


Kadangkala dilihat mesra BN dan kadangkala mesra pembangkang, Tajuddin memaklumkan Pagar lebih berminat untuk membawa isu rakyat untuk menyatukan penduduk Hulu Perak.


“Pagar merupakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berpaksi kepada kebajikan, sentiasa memegang prinsip untuk satukan masyarakat di Hulu Perak tanpa mengira politik.


“Keterlibatan politik dalam Pagar hanya perlu dalam hal melibatkan keadilan dan kesejahteraan rakyat. Semuanya hanya untuk rakyat Hulu Perak


“Pagar juga memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada wakil rakyat di Hulu Perak dan itu merupakan pendekatan yang kami ambil sedari dulu,” ujarnya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]