Gadis jual duit lama ditipu pembeli warga asing

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Teruja ditawarkan harga mencecah RM20,000 oleh pelanggan untuk membeli duit lama dijualnya, seorang gadis terpaksa menanggung kerugian hampir RM3,000 kerana ditipu.


Remaja berusia 19 tahun yang juga seorang peniaga produk kecantikan sebelum ini ada mengiklankan beberapa keping duit lama untuk dijual di dalam laman Instagram miliknya.


Bagaimanapun, pada Selasa lalu, kira-kira jam 5.30 petang, mangsa dari Seberang Takir, Kuala Nerus, ada menerima satu pesanan WhatsApp daripada seorang lelaki memperkenalkan diri dari luar negara.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, lelaki warga asing itu memberitahu berminat hendak membeli duit lama tersebut dengan harga RM20,000.


Beliau berkata, dalam masa sama, lelaki berkenaan meminta nombor akaun bank milik mangsa dan berjanji akan memasukkan wang tersebut dalam kadar segera.


“Beberapa minit kemudian, suspek ada menghantar satu ‘screenshoot’ bukti dia cuba memindahkan wang ke dalam akaun mangsa tetapi gagal.


“Suspek memberi alasan pemindahan duit dari luar negara ke bank tempatan tidak dapat dilakukan kerana akaun bank mangsa tidak aktif sebelum mengarahkan membuat pembayaran RM750 bagi mengaktifkan semula akaun tersebut,” katanya ketika dihubungi.


Idris berkata, mangsa yang percaya dengan alasan itu hanya mengikut arahan diberikan sebelum bertindak memasukkan wang ke dalam akaun sebuah bank diberikan suspek.


“Suspek bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan jumlah wang dimasukkan sebelum meminta memasukkan lagi sejumlah wang dengan alasan masih tidak mencukupi untuk mengaktifkan akaun.


“Mangsa tanpa ragu-ragu terus memasukkan lagi jumlah wang diminta sehinggalah merasakan ada sesuatu tidak kena selepas suspek masih tidak berpuas hati dan beberapa kali meminta dimasukkan lagi sejumlah wang ke dalam akaun bank sama,” katanya.


Jelas Idris, mangsa mula curiga selepas suspek asyik meminta wang dengan menggunakan alasan sama, tidak cukup untuk aktifkan akaun.


“Selepas yakin dirinya sudah ditipu, mangsa nekad membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.


“Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]