Ghapur usul bayar dividen bulanan kepada peneroka Felda

in Politik by


TAWAU – Calon BN bagi kerusi Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh akan mengemukakan permohonan kepada  Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) supaya dividen peneroka di sini dapat dibayar secara bulanan dan bukannya  bayaran tahunan.


Abdul Ghapur berkata, wang dividen itu memberi manfaat kepada peneroka khususnya di Felda Umas dan Kalabakan, dalam mempertingkatkan taraf hidup keluarga.


Katanya, BN berupaya melaksanakan misinya untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat, termasuklah warga peneroka Felda.


“Dengan cara ini, peneroka di Sabah, khususnya di Felda Umas dan Kalabakan dapat terus memberikan sokongan kepada BN,” katanya  pada majlis penyerahan replika cek wang imbuhan tahunan bernilai RM470,000 kepada  235 ahli Koperasi Pembangunan Murut Kalabakan Tawau Sdn Bhd di sini.


Hadir sama, Pengurus Besar Felda Wilayah Sabah, Datuk Juany Salleh dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat.


Dalam pada itu, Felda Wilayah Sabah turut mengagihkan sumbangan 300 kerusi untuk kegunaan Dewan Merotai serta tangki air kepada ahli koperasi. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]