Isu alam sekitar: BN jangan hipokrit!

in Edisi Utara by


GEORGETOWN- BN Pulau Pinang didakwa hipokrit dalam menyuarakan pendiriannya dalam penjagaan alam sekitar di negeri ini apabila tidak pernah menentang pembinaan dua buah stesen janakuasa nuklear di negara ini.


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sehingga kini, tiada seorang pemimpin BN negeri ini dan juga di peringkat nasional berani untuk menyatakan pendirian mereka terhadap pembinaan dua buah stesen tersebut.


Menurutnya, pemimpin BN Pulau Pinang tidak layak untuk menggunakan isu alam sekitar untuk menyerang Pakatan Harapan (Harapan) dalam setiap kempen yang mereka jalankan.


“Ini satu sikap ‘double standard’ dan hipokrit kerana mereka (BN) yang mahu bina dua buah stesen janakuasa nuklear di negara ini. Adakah ini melayakkan mereka bercakap mengenai penjagaan alam sekitar. Kena ingat, Kerajaan Pulau Pinang merupakan pihak pertama yang menentang cadangan itu kepada kerajaan Pusat.


“Di samping itu, Pulau Pinang mempunyai kadar kitar semula tertinggi di negara dengan 38 peratus berbanding kadar nasional, hanya 32 peratus. Selain itu, Pulau Pinang juga satu-satunya negeri yang tidak menebang hutan simpannya. Oleh itu, apa lagi yang BN nak dakwa kononnya kerajaan negeri tidak mementingkan alam sekitar?” katanya kepada media tadi.


Sebelum ini, BN Pulau Pinang yang dipengerusikan Teng Chang Yeow seringkali menggunakan alam sekitar terutamanya isu banjir dan pembangunan lereng bukit sebagai peluru untuk menyerang Harapan.


Malah dalam manifestonya, BN Pulau Pinang meletakkan isu alam sekitar sebagai salah satu teras utama yang akan diketengahkan sekiranya memenangi PRU14 kelak.


Guan Eng kemudiannya turut menggesa pemimpin BN menyatakan pendirian mereka terhadap cadangan pembinaan stesen janakuasa nuklear tersebut.


“Mereka tak berani langsung menyuarakan isu membabitkan kerajaan Pusat antaranya stesen janakuasa nuklear. Bukan itu saja, dalam skandal 1MDB pun, mereka tak berani sedang skandal tersebut telah menyusahkan rakyat dengan adanya GST.


“Adakah parti ini layak dapat sokongan daripada rakyat? Kita akan bekerja kuat untuk selamatkan Pulau Pinang dari BN. Harapan juga tidak akan biarkan apa yang kita capai dalam tempoh 10 tahun ini jatuh ke tangan BN,” katanya.


Ketua Menteri Pulau Pinang Sementara itu turut mengakui bahawa Harapan tidak boleh hilang walau satu kerusi di peringkat negeri kerana ia akan memberi kelebihan kepada BN.


“Oleh itu, saya berharap agar rakyat tidak memilih mereka kerana masa depan rakyat akan hancur. Saya juga berharap jangan membiarkan ‘kemenangan tidak sengaja’ berpihak kepada BN untuk PRU14 ini.


“Jika mereka menang, mereka akan ‘mengundurkan kembali’ semua yang dilaksanakan dan bakal dilaksanakan oleh Harapan selama 10 tahun ini,” katanya.


Guan Eng berkata, niat BN untuk memansuhkan kesemua projek infrastruktur di negeri ini yang terkandung dalam manifestonya tidak boleh diterima.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]