‘Kami akur arahan SPR’

in Edisi Johor by


SEGAMAT – PKR Parlimen Segamat akur arahan SPR yang mengarahkan mereka menutup gambar Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada gegantung dan kain rentang kempen PRU14.


Calon PKR Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr E Santhara berkata, ini menunjukkan mereka menghormati arahan dan undang-undang SPR.


“Saya menyeru pengundi India di Parlimen Segamat agar tidak takut lakukan perubahan dan menyokong PKR pada PRU14 ini dan membawa perubahan baharu di negara ini.


“Walaupun BN sering kata kemenangan milik mereka, tapi kali ini saya nak nyatakan pasukan PKR di Parlimen Segamat dan Sekijang bersiap sedia dan kami latih lebih 2,000 Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Kira Undi (Paca).


“Ini untuk memastikan kita (PKR) tidak mudah ditipu seperti PRU lalu dan kali ini saya dan pasukan saya akan pastikan kemenangan PKR pada kali ini kerana kami tahu kami sudah bekerja keras,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu ceramah Bina Semula Negara di Bandar Utama, kelmarin.


Turut hadir, calon PKR Dun Buloh Kasap, Norsamsu Yusof; penyandang Dun Jementah, Tan Chen Choon; calon PKR Parlimen Sekijang, Natrah Ismail dan calon PKR Dun Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Noor.


Menurutnya, di Parlimen Segamat pada PRU14 juga, pertama kali berlaku pertembungan calon India iaitu di antaranya dan penyandang Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Subramaniam.


Katanya, beliau berharap pengundi terutamanya kaum India tidak terpengaruh dengan dakwaan BN bahawa suara kaum India tidak akan didengari di Parlimen sekiranya calon BN kalah pada PRU14.


“Kalau BN kalah, calon India seperti saya pula bawa suara mereka di Parlimen dan ini masa lakukan perubahan,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]