Keluarga halang Mahathir ziarah pusara Nik Aziz

in Politik by


KOTA BHARU – Keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan mahu menziarahi pusara bekas Menteri Besar Kelantan itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka, hari ini.


Kelihatan anak Allahyarham Mursyidul Am Pas itu, Nik Adli bersama seorang lagi individu bertindak mengunci pintu pagar selain meletakkan sebuah lori tiga tan di depan pintu masuk tanah perkuburan berkenaan.


Wakil ahli keluarga itu, Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata, pihaknya tidak mahu institusi keluarga Tok Guru berpecah berdasarkan situasi semasa yang berlaku ketika ini.


“Kita nak supaya keluarga (Nik Abdul Aziz) ini berada dalam kesatuan sahaja.


“Kita juga tak mahu isu yang cuba dimainkan ini lebih-lebih lagi dekat dengan pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita.


Pengerusi Pakatan Harapan tiba di Kota Bharu, pagi tadi dalam siri jelajah untuk bertemu penyokong gabungan parti tersebut.


Sinar Harian difahamkan Mahathir menangguhkan ziarah kubur Nik Abdul Aziz dan meneruskan siri program berikutnya di Kok Lanas, Ketereh dan kemudian di Kota Bharu.


Dalam perkembangan sama, Ahmad  Dasuki yang juga anak saudara Nik Abdul Aziz meminta orang luar tidak campur tangan dalam soal urusan keluarga itu.


“Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini dan janganlah orang luar masuk hingga menyebabkan keluarga ini berpecah.


“Kita harap polemik-polemik ini tidak timbul lagi sehingga menyebabkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya


Source: SH Politik

[featured-video-plus]