Kerajaan negeri laksana pelbagai inisiatif bantu rakyat

in Uncategorized by


SERI MANJUNG – Memahami keadaan kos sara hidup yang meningkat, kerajaan negeri mengambil pendekatan membantu golongan memerlukan melalui pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan.


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara inisiatif yang dilakukan ialah penyerahan bantuan kotak makanan melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) kepada rakyat memerlukan.


Menurutnya, pendekatan bantuan kotak makanan itu turut menjadi contoh ikutan bukan sahaja kepada negeri lain malahan kepada negara luar.


“Bantuan kotak makanan ini diberikan kepada golongan miskin terutama mereka yang berada dalam senarai E-Kasih.


“Saya mengingatkan kepada Ketua-ketua kampung agar melihat anak-anak buah mereka yang susah dan jangan dibiarkan sahaja tanpa sebarang bantuan,” katanya ketika berucap semasa program bertemu rakyat di Pusat Komuniti dan Karavan (Pakar) Manjung.


Zambry berkata, selain daripada penyerahan kotak makanan, kerajaan negeri juga turut menyediakan kedai bergerak Amanjaya bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan harian dengan lebih murah.


“Kita (kerajaan negeri) beli lori dan ubah lori berkenaan bagi membolehkan lori itu memuatkan barangan asas untuk dijual dengan harga lebih murah dari harga kilang.


“Program ini sudah berjalan sejak empat tahun lalu dan ia memberi manfaat kepada seluruh rakyat kerana mereka dapat beli barang yang lebih murah,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]